AIN Sakinah (kiri) melahirkan bayi lelaki di Petaling Jaya yang dikongsi di Instagramnya (gambar kecil).  FOTO Arkib NSTP.
AIN Sakinah (kiri) melahirkan bayi lelaki di Petaling Jaya yang dikongsi di Instagramnya (gambar kecil). FOTO Arkib NSTP.
Syafil Syazwan Jefri


Penyanyi Asfan yang popular menerusi lagu Sumpah Cintaku, menyambut kelahiran anak lelaki ketiga, 2.22 pagi, hari ini.

Isterinya, Ain Sakinah Razali, 30, selamat melahirkan di hospital swasta di Petaling Jaya, selepas dimasukkan ke ruang bersalin 7 malam.

“Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi kerana isteri melahirkan secara normal dan dipermudahkan. Tepat 2.22 pagi, bayi lelaki dengan berat 3.31 kilogram selamat dilahirkan.

“Sepanjang tempoh itu saya berada di samping isteri. Kini isteri dan bayi kami dalam keadaan stabil,” katanya.

Asfan atau Norasfan Shah Shah Rudin, 32, akui agak cemas kerana kali ketiga mengejarkan isterinya ke hospital sejak minggu lalu.

“Walaupun tarikh jangkaan kelahiran minggu depan, doktor beritahu untuk bersedia menerima kelahiran pada bila-bila masa,” katanya.

Berita gembira itu dikongsi Asfan menerusi akaun Instagramnya pagi ini.

“Buat masa sekarang, saya hanya berkongsi sebahagian gambar anggota bayi. Insya Allah, selepas 44 hari, saya akan kongsikan gambar penuh pula,” katanya.

Isterinya berpantang di kediaman mereka di Damansara di bawah jagaan ibu mentuanya dan pembantu.

Pasangan ini yang berkahwin pada 2012, mempunyai dua anak lelaki, Ali Haytham Shah, 4, dan Ali Wakeel Shah, 2.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2017 @ 12:05 PM