ASFAN.
ASFAN.
Syafil Syazwan Jefri


Industri muzik tanah air pernah diserikan dengan kehadiran ‘boy band’ dan ‘girl band’ popular satu ketika dahulu.

Antara yang menjadi kegilaan adalah Shades, Indigo, Feminin dan Elite. Dek kerana itu, penyanyi dan komposer berbakat besar, Asfan berhasrat mengembalikan kegemilangan itu dengan memperkenalkan kumpulan Qanda dan terbaru Kamasastra.

“Syukur, Qanda yang dianggotai lima anak muda dan popular dengan lagu Cinta Yang Sempurna dapat diterima ramai.

“Melihat sambutan baik itu, saya menubuhkan satu lagi kumpulan baru iaitu Kamasastra yang berkonsepkan hip hop dan R&B,” katanya.

Asfan mengakui meletakkan harapan tinggi terhadap Kamasastra yang dianggotai Diana, Fandi dan Farid.

“Band ini lain daripada lain apabila ada rapper wanita. Lebih unik lagi, dia berhijab.

“Setakat ini belum ada rapper wanita bertudung dalam arus perdana tempatan. Dari situ sahaja kita sudah boleh nampak kelainan band ini,” katanya.

Sambungnya, sebagai pengenalan dia dan Kamasastra menyanyikan semula lagu Alasan Untuk Bahagia yang diberi nafas baru.

“Sebelum ini, Alasan Untuk Bahagia bergenre balada dan untuk versi baru saya suntikkan elemen hip hop dan rap.

“Menerusi lagu ini saya akan memperkenalkan Kamasastra dan diharap ia menjadi permulaan yang baik buat mereka,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan kariernya dan artis di bawah syarikatnya, Black Beast Entertainment, Asfan berkata, dia sudah merangka beberapa strategi sepanjang tahun ini.

“Saya mahu karier saya dan anak-anak didik saya bergerak seiring. Qanda sudah boleh bergerak sendiri dan saya hanya perlu pantau dari jauh.

“Kamasastra pula, banyak lagi yang perlu saya bantu memandangkan mereka masih baru.

“Apa yang pasti saya akan pastikan mereka berjaya dan dapat menempa nama dalam industri ­hiburan tanah air,” katanya.

Mengulas perkembangan terbaru, Asfan berkata, dia kini dalam proses mengumpul material untuk album terbaru.

“Insya-Allah untuk album baru ini, saya akan muatkan enam hingga lapan lagu. Selain Alasan Untuk Bahagia yang menampilkan Kamasastra, saya akan selitkan sebuah lagi lagu ‘remake’, Maafkan Aku.

“Maafkan Aku yang diberi nafas baru ini akan menampilkan pelakon Ruhainies,” katanya.

Asfan juga akan turut serta dalam Siri Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor pada 18 dan 19 Mac ini.

Asfan mengakui teruja apabila buat julung kalinya terbabit dengan siri jelajah anjuran akhbar nombor satu negara.

“Terima kasih saya ucapkan kepada Harian Metro kerana sudi menjemput saya menyertai siri jelajah ini.

“Saya sangat teruja dan tidak sabar bertemu peminat di Muar dan kawasan sekitar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2016 @ 11:27 AM