FORD Escort gaya jentera perlumbaan.
FORD Escort gaya jentera perlumbaan.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Ford Escort generasi pertama (MK1) mula diperkenalkan di United Kingdom pada penghujung 1967 di mana kemunculan pertamanya di pasaran dunia pada 1968 di Pameran Motor Brussels, Belgium.

Biarpun sejarah awal jentera itu sebagai kereta keluarga, ia terbabit dalam sukan permotoran terutama kejohanan rali dunia, selain popularitinya melonjak selepas muncul dalam filem Fast & Furious 6 atau Fast Six.

Dalam pameran Art Of Speed 5 baru-baru ini, jentera milik Ahmad Zunairi, 28, atau lebih mesra dengan panggilan Togo, mencuri tumpuan umum apabila menampilkan sudut luaran mengagumkan turut menggunakan rangkaian kuasa Toyota AE 86 Trueno.

Jentera keluaran 1969 itu, asalnya jentera biasa dan terbiar. Namun minat mendalam terhadap jentera ‘muscle’ membuatkan Ahmad mengubah kereta itu dengan menghabiskan ribuan ringgit untuk melakukan modifikasi.

Proses modifikasi bermula dengan menukar enjin Toyota 4AGE bersesaran 1,600 cc yang diambil daripada model AE86.

Proses pemasangan semudah ‘Plug and Play’, tetapi memerlukan sedikit pengubahsuaian tapak serta pendawaian. Namun keaslian masih dijaga tanpa diusik secara berlebihan.

Selepas dipadankan dengan kotak gear manual lima kelajuan dan gandar belakang AE86, enjin jentera itu digabungkan dengan aksesori berprestasi seperti enjin omboh Toto 85 milimeter, pam bahan api Bosch dan banyak lagi, selain kuasa dipertingkat menerusi sistem ekzos saluran terus.

Sudut luaran pula, komponen asal masih dikekalkan tetapi ditambah kit badan binaan khas seperti dapra, spoiler belakang serta ‘penyodok’ hadapan bagi menyerlahkan keterampilannya.

Jentera dua pintu ini terus berdiri megah selepas dilengkapi padanan rim Volk Rays bersaiz 15 inci dengan tayar jenama Bridgestone Potenza.

Ruang kokpit lebih menyerlah dengan padanan meter Apexi, stereng OMP Deep Dish, tempat duduk Toyota dengan tali pinggang Takata sekali gus tampak seperti jentera perlumbaan.

Jentera yang masih mengekalkan suspensi asal itu turut menggunakan sistem brek cakera yang diambil dari model Toyota.

Sementara itu Togo berkata, biarpun pada pandangan orang lain mengatakan jenteranya tampak sempurna, baginya masih banyak lagi kekurangan dan perlu ditambahkan.

Jentera yang menelan belanja RM20,000 itu pernah ditawar dengan harga hampir dua kali ganda dari kos modifikasi, tetapi beliau masih enggan melepaskan berikutan ia sangat bernilai.

INFO

FORD ESCORT MK1 KELUARAN 1969

- Ubah suai enjin:

• Enjin 4AGE

• Kotak Gear AE86

• Gandar belakang AE86

• Omboh Toto 85mm

• Pam bahan api Bosch

• Pengawal bahan api Works

• Ekzos saluran terus

- Ubah suai luaran:

• Dapra binaan khas

• Spoiler binaan khas

• Penyodok binaan khas

• Rim Volk Rays 15 inci

• Suspensi asal

• Brek cakera Toyota

- Ubah suai dalaman:

• Meter Apexi

• Stereng OMP Deep Dish

• Kerusi hadapan model Toyota

• Tali pinggang Takata

- Kos Modifikasi:

• RM 20,000

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2016 @ 5:00 AM