Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Nissan Skyline mula dikeluarkan dengan model pertamanya yang dikenali PGC10 selepas dilancarkan pada Pameran Motor Tokyo ke-15 pada 1969.

Selepas 30 tahun, Nissan menghasilkan model generasi kelima menerusi Skyline GTR R34 yang lebih berkuasa di mana reka bentuknya lebih sasa dan bergaya.

Di Malaysia, bagi setiap individu yang mampu memiliki jentera itu sudah pasti ia menjadi tumpuan ramai ketika memandunya.

Ini kerana selain reka bentuk menarik, harganya tinggi dan tidak ramai yang mampu memilikinya.

Bagi pekerja swasta, Mohd Hadi Mohd Ghazali, 43, jentera miliknya menggunakan enjin RB25DET Neo dan tidak harus dipandang ringan berikutan sudah melakukan ubah suai terhadap komponen dalaman enjin bagi meningkatkan lagi kuasa serta kelajuan.

Dengan kapasiti enjin 2,500cc dan pengecas turbo tunggal jenis HKS GT 2540, enjin RB25DET mampu menghasilkan hampir 400hp yang mampu memecut sehingga 300 kilometer sejam (km/j).

Paip keluli tahan karat binaan khas memenuhi ruang enjin bagi menyambung turbo dan intercooler jenama Apexi.

Ia turut menggunakan pengambilan pancarongga Plenum Greddy bersama ‘fuel rail’ yang dipertingkatkan menerusi pelaras bahan api jenama SARD.

Pam petrol berkuasa tinggi Walbro 380 digunakan dengan dikawal kawalan unit elektronik daripada MicroTech LT12S yang dikhususkan enjin enam silinder.

Tahap prestasi enjin terus dipertingkatkan dengan saluran terus binaan khas bersaiz 3.5 inci yang bersambung peredam bunyi HKS Megaphone.

Bagi sudut luaran pula, pemilik masih mengekalkan pelbagai komponen asal, namun menggunakan spoiler khas serta diceriakan pelekat badan dengan tema Team Carlsonic Kansei GT Japan 500, selain tampak lebih gah selepas dipadankan rim Nismo 18 inci.

Bagi mengawal keseimbangan, jentera itu dilengkapi suspensi Tein boleh diselaraskan, manakala kuasa hentian masih menggunakan yang asal.

Bahagian dalamannya pula masih lagi asli, cuma ditambah beberapa meter Defi pelbagai fungsi untuk menjadikan jentera itu lebih bergaya.

Jentera yang menerima sentuhan tenaga pakar GTR dari FS Auto Servis dan Victory Motorsport itu menelan belanja lebih RM35,000.

INFO

NISSAN SKYLINE GTR-R34 2007

• Ubah suai enjin

- Turbo tunggal HKS GT 2540

- Intercooler Apexi

- Pelaras bahan api SARD

- Pam minyak Walbro 380

- Ekzos saluran terus dengan peredam HKS Megaphone

• Ubah suai luaran

- Penyerap hentak boleh laras Tein

- GTR Spoiler

- Pelekat Team CarlsonicKansei GT Japan 500

• Kelab

- Kelab Malaysian Skyline Owner Group

• Garaj

- Bengkel FS Auto Servis dan Victory Motorsport

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2016 @ 5:00 AM