HAZRIL MDNOR faham kebanyakan remaja mempunyai tabiat berfikir panjang walaupun ia membabitkan perkara remeh. Untuk kesan jangka panjang, ia boleh menyebabkan minda anda lebih terganggu bukannya mempertemukan anda dengan jalan penyelesaian

Sakit hati, sedih dan marah kerana sesuatu perkara yang berlaku pastinya menjadikan hidup kita gundah-gulana seketika. Sesetengah remaja lebih gemarkan cara 'lupa' saja perkara semalam dan teruskan hidup. Namun terbukti, cara sebegitu tidak lagi 'melekat' dalam minda semua orang. Ada juga yang gemar berfikir panjang untuk menilai kesilapan lalu. Dengar mungkin pelik, tapi itulah realiti yang berlaku sekarang.

Kaji punca

Jika diamati kembali, hal yang remeh sepatutnya dilupakan begitu saja bahkan keesokan harinya, perkara itu patut diluputkan daripada ingatan kerana ia hanya mengusutkan minda. Tapi kenapa sesetengah remaja memilih untuk berfikir panjang walaupun ia membabitkan perkara remeh?

Meneliti keadaan ini, penulis laman web popular, Life Hacker, Thorin Klosowski ada menyuarakan berkenaan masalah ini. Jelasnya, minda manusia terutama anak muda paling bergiat aktif dan memproses lebih banyak maklumat berbanding golongan yang lebih tua. Disebabkan itu juga, mereka ada kebebasan untuk berfikir panjang atas dasar tertentu.

"Remaja berfikir kerana mereka berada dalam proses mencari identiti diri dan menempuh halangan baru. Tidak hairan ramai antara generasi muda yang gemar menilai kesilapan lalu melalui kaedah berfikir kerana bagi mereka, setiap kesalahan perlu diperbetulkan melalui cara yang lebih positif pada masa hadapan," katanya.

Kajian dijalankan oleh Psychology Today mendapati, kaedah berfikir panjang ini sebenarnya tidak membawa kepada apa-apa bahkan pemikir hanya menemui jalan buntu semata-mata. Hal demikian terjadi disebabkan kaedah itu lebih banyak sudut negatifnya berbanding positif kerana setiap jalan penyelesaian yang ditemui ketika proses itu hanya mengelirukan lagi minda kerana keterbatasan ilmu dan idea.

Contohnya, anda mengalami kekecewaan dalam percintaan mahupun menghadapi masalah serius di mana anda perlu membuat keputusan segera. Anda memilih jalan keluar mudah dengan berfikir kembali mengenai masalah itu kononnya untuk mencari kesilapan yang tidak patut. Tapi hakikatnya, ia hanya mengusutkan lagi fikiran kerana anda tidak merujuk daripada orang lain iaitu kawan ataupun ahli keluarga. Pendek kata, golongan sebegini lebih mudah pendam perasaan dan tidak suka berkongsi masalah tapi hanya merungkaikan sendiri persoalan di minda dan pada akhirnya menemui jalan buntu.

Berhenti segera

Memang sukar untuk hentikan tabiat ini kerana ia mengakibatkan ketagihan walaupun manfaatnya sedikit. Justeru, jika anda mula perasan bahawa masa anda berlalu dengan sia-sia dan anda sering tertekan maka ubah segera. Langkah pertama, sibukkan diri anda dengan aktiviti yang boleh mengganggu tumpuan, contohnya seperti hobi dan juga senaman.

Pentingnya berbuat demikian kerana minda akan fokus sepenuhnya pada aktiviti yang dilaksanakan sekali gus mengalih perhatian anda dari berfikir bukan-bukan. Jika berada dalam bilik keseorangan, dengar muzik ataupun gunakan komputer untuk membuat kerja. Sebolehnya, banyakkan bersosial dan elakkan dari duduk berseorangan kerana ia boleh mengundang minda anda untuk berfikir mengenai masa lalu.

Ketiga, tetapkan objektif ketika melakukan sesuatu. Jika anda mempunyai pelan dan perancangan yang teliti, ini boleh mengelakkan masalah daripada berlaku.

Menurut penulis artikel laman web popular Huffington Post, Bob Miglani, minda yang dipenuhi dengan ketetapan objektif dan visi yang betul boleh mengurangkan masalah sekali gus menjadikan minda lebih positif.

"Setiap orang perlu sentiasa terapkan perancangan teliti dan elak dari berfikir akan perkara lain yang tidak berkaitan. Anggap masalah sebagai salah satu cara untuk meningkatkan daya pemikiran. Apabila seseorang mula mengasingkan masalah daripada minda, mereka akan jadi lebih optimis dan proaktif," katanya.

Terakhir, cuba buat dulu sesuatu sebelum berfikir. Kebanyakan remaja banyak fikirkan risiko dan kesukaran sesuatu tugasan itu walaupun kadang-kadang ia tidaklah sesukar mana. Daripada terus memikirkan kesan dan akibat negatif yang berlaku, lebih baik anda buang persepsi itu dan seterusnya cuba anggarkan perkara positif yang akan berlaku dalam hidup anda sekiranya tugasan itu disempurnakan. Andai kata anda malas untuk memulakan sesuatu, mulakan segera dan jangan menangguh serta berfikir panjang!

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Disember 2014 @ 5:05 AM