HAZRIL MDNOR faham ramai anak muda yang suka berfikir bukan-bukan apabila tertekan. Sebenarnya itu hanya menjadikan kita berfikiran negatif dan hilang pertimbangan ketika membuat keputusan.

Kadang kala kita penat dan tertekan memikirkan masalah yang dihadapi. Justeru, perkara itu pula membuatkan kita sering mencerminkan hal-hal buruk seperti berkata perkara tidak baik ataupun berfikir bukan-bukan. Percaya atau tidak, senario itu menjadikan kita lebih cenderung ke arah yang negatif. Lebih teruk lagi, lama-kelamaan sikap negatif itu akan mempengaruhi fikiran dan seterusnya kita akan jadi kurang produktif dan tidak yakin dengan diri sendiri. Gen Y ada jalan untuk anda atasi masalah fikiran bercelaru ini.

Buat catatan

Tidak dinafikan, bukan semua gemar mencatat sesuatu yang dianggap tidak penting. Tapi menurut pakar psikologi, Elizabeth Scott menyenaraikan setiap satu sikap negatif yang kita miliki boleh mendekatkan lagi anda dengan jalan keluar daripada masalah yang anda hadapi. Katanya, anak muda gemar berfikir bukan-bukan dan tidak yakin dengan kebolehan mereka. Justeru, dengan mencatat satu per satu nilai negatif, itu boleh mengingatkan setiap seorang daripada mereka akan kelemahan diri.

"Jika kita sudah tahu kelemahan diri melalui catatan, maka itu adalah langkah paling utama untuk bebaskan diri kita daripada sikap negatif itu. Bukan semua yang mengetahui kelemahan diri. Oleh itu, penting untuk kita senaraikan agar kita sendiri tahu apa yang tidak kena dengan diri seterusnya mendorong kita untuk berubah," katanya.

Tak perlu berkata tak elok

Salah satu masalah lain yang menyebabkan golongan belia makin tertekan dan terlalu berfikiran negatif ialah kerana diri mereka sentiasa berkata bukan-bukan. Misalnya, perkataan yang tidak elok boleh mencerminkan peribadi kita. Justeru, jika ayat itu diungkapkan berulang kali maka jelaslah yang kita banyak berfikiran negatif dan sedikit sekali nilai positif yang diterapkan dalam diri seperti yang dijelaskan oleh Elizabeth dalam artikelnya.

"Berhenti meluahkan kata-kata negatif dan banyakkan kata-kata positif kerana teknik ini boleh memotivasikan diri anda secara tidak langsung. Ini kerana ayat yang diperkatakan sebenarnya datang daripada fikiran. Jika minda diisi dengan unsur negatif maka itu akan mempengaruhi perkataan yang diucapkan juga," katanya.

Fikir kesan jangka panjang

Andai kata kita tetap berfikiran negatif dan terus tertekan dengan masalah, adakah itu akan memberikan jalan penyelesaian? Sudah semestinya tidak! Oleh itu, penting sekali untuk kita muhasabah diri dan sentiasa berfikiran positif. Mulakan dengan minda kerana kesemuanya datang dari otak sama ada negatif atau sebaliknya. Fikirkan bahawa apabila diri terus bersikap negatif, mana mungkin kita boleh tempuhi kejayaan. Lebih teruk lagi, itu menjadikan kita kurang berdaya saing dan selalu tidak yakin dengan diri sendiri.

Ambil masa untuk cuti dan tenangkan diri daripada masalah yang membelenggu fikiran. Pada masa yang sama, gunakan masa itu untuk memotivasikan diri kita ke arah yang lebih baik. Pada usia yang begitu muda, masalah perlu diselesaikan dengan cara yang profesional. Jika kita sudah mengeluh dari awal, fikirkan pula situasi apabila kita betul-betul berada dalam masalah yang lebih serius seperti isu perkahwinan dan sebagainya. Mungkin tidak terdaya diri untuk menghadap masalah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Oktober 2014 @ 9:20 PM