Sentiasa berfikir mengenai masa depan atau masalah, istilahmengelamun atau berangan memang sudah sinonim dengan anak muda. HAZRIL MDNOR pasti terapi diri ini boleh digunakan untuk menghidupkan pemikiran positif selain mengurangkan tekanan.

Selalu terbayang kereta idaman, rumah besar dan lain-lain perkara yang pastinya membuat anda tersenyum. Itu situasi normal apabila setiap individu berangan-angan pada siang ataupun malam hari. Malah, kajian menunjukkan generasi muda lebih banyak berangan berbanding generasi lain yang berbeza peringkat usia. Ia disebabkan kecenderungan remaja memasang impian untuk memuaskan diri sendiri ataupun mengejar cita-cita dan objektif dalam hidup.

Kebiasaannya, setiap individu menggunakan teknik minda ini untuk menenangkan diri ataupun mengurangkan tekanan. Bergantung kepada individu itu sendiri, setiap lintasan fikiran yang bermain di minda adalah berlainan. Ada yang positif dan tidak kurang juga yang boleh menjejaskan kotak pemikiran. Kajian dari Universiti Harvard juga menunjukkan lelaki turut berangan sama kekerapannya dengan wanita. Kebiasaannya, si lelaki akan terbayangkan dirinya menjadi seorang wira dan ahli olahragawan manakala gadis lebih cenderung memikirkan mengenai fesyen dan kecantikan. Persoalannya, adakah teknik ini berkesan sebagai terapi diri ataupun sebaliknya? Gen Y ada jawapannya.

Bantu buat pilihan

Kajian pada 2012 yang dijalankan Universiti Wisconsin menunjukkan seseorang yang mengelamun sebenarnya membolehkan mindanya berfungsi dengan lebih berkesan iaitu memberikan lebih banyak ruang kepada otak untuk berfikir, seterusnya memperbanyakkan idea kreatif dan menguatkan ingatan. Apabila minda berada dalam 'mod' berfikir, individu boleh memberi perhatian pada sesuatu yang lebih penting dan membuat pilihan sebaiknya. Contohnya, hal yang kurang penting boleh 'dibuang' sementara daripada minda, seterusnya membuatkan anda berfikir mengenai hal yang positif saja.

Menurut pakar psikologi Universiti New York, setiap lintasan fikiran yang terhasil boleh menolong generasi muda membuat keputusan pada masa hadapan.

Sebagai remaja, semestinya kita memerlukan perancangan yang teliti dan menyenangkan hidup.

Menurutnya, jika minda selalu berada dalam 'mood' positif, maka setiap lintasan fikiran yang dihasilkan akan menjurus ke arah yang baik. Itu boleh dilihat sebagai salah satu cara untuk membezakan yang mana lebih penting dan kurang penting.

Impak yang boleh dilihat ialah penjanaan idea daripada terapi diri tadi membolehkan anda menetapkan objektif dan visi dalam hidup yang lebih sesuai dengan gaya hidup.

Kajian dari Universiti British Columbia juga mendapati keadaan minda yang mengelamun memberi peluang kepada individu itu memikirkan jalan penyelesaian jika menghadapi masalah.

Kajian itu juga menunjukkan teknik ini memudahkan individu membuat keputusan selain memberikan mereka kebebasan berfikir.

Tenangkan minda

Disebabkan gaya hidup yang sentiasa sibuk dengan lambakan aktiviti serta tugasan yang perlu disiapkan, itu menjadikan kita penat dan tertekan. Selain meluangkan masa bersama rakan ataupun insan tersayang untuk melepaskan tekanan, ada lagi cara lain yang juga berkesan dan sesuai digunakan.

Penyelidik dari Pusat Anti Kemurungan (Anti Stress Center) mendapati teknik terapi diri melalui minda sama dengan kaedah hipnosis dan boleh mengurangkan tekanan serta tekanan darah. Kebiasaannya, teknik ini paling sesuai digunakan oleh individu yang selalu ketiadaan masa untuk berjumpa dengan kenalan. Kajian dari Universiti Harvard juga menunjukkan teknik ini membolehkan seseorang individu merancang aktiviti dengan lebih teliti seperti merancanakan percutian di tempat menarik ataupun membuatkan mereka lebih bersiap sedia mengendalikan acara yang berlangsung.

Kajian dari Universiti California juga menunjukkan kesan positif yang sama. Pelajar yang diberikan tugasan yang tidak menjana idea ataupun diertikan sebagai membosankan biasanya akan mengelamun untuk menghasilkan idea. Apabila minda gagal memikirkan jalan penyelesaian, pada saat inilah idea akan bercambah dengan lebih banyak, seterusnya mewujudkan jalan penyelesaian yang berkesan.

Tidak semua positif

Mungkin ramai daripada kita melihat teknik ini sebagai salah satu cara berkesan untuk menjana idea serta mengurangkan tekanan. Tapi apa yang pasti, bukan semua lintasan fikiran menjurus ke arah positif. Ini kerana teknik ini memerlukan anda berada dalam 'mood' yang sesuai. Jika 'mood' berada dalam keadaan negatif maka kebanyakan apa yang difikir pastinya lebih menjurus ke arah tidak baik.

Cara yang paling sesuai untuk mengelak berfikiran negatif ketika mengelamun ialah amalkan teknik terapi ini hanya apabila anda sedang tenang. Meskipun teknik ini boleh diamalkan untuk mengurangkan tekanan, ia bergantung kepada cara anda berfikir. Jika anda kerap berfikiran negatif maka tenangkan diri dulu. Apa yang pasti, kaedah ini memerlukan kita mengasingkan diri daripada realiti buat seketika. Justeru, minda yang positif akan mencurahkan lebih banyak idea yang kreatif.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 November 2014 @ 5:02 AM