JOSEPH (dua dari kanan) giat menjalani latihan di Padang A, Gong Badak, semalam.
JOSEPH (dua dari kanan) giat menjalani latihan di Padang A, Gong Badak, semalam.

Kuala Terengganu: Dua misi penting menjadi agenda Terengganu apabila turun melayan kunjungan Kelantan dalam saingan pusingan kedua Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam ini.

Selain mahu memperbaiki kedudukan dalam carta liga yang kini berada di tangga keenam dengan pungutan 16 mata, skuad yang terkenal dengan jolokan Peteh Terengganu Peteh itu juga berhasrat untuk membalas dendam kekalahan 0-3 dalam aksi pusingan pertama liga di laman lawan.

Pemain serba boleh Terengganu Joseph Kalang Tie berkata, tiga mata amat penting buat pasukan untuk mendaki kedudukan terbaik liga apatah lagi kini pasukan yang juga dikenali skuad Penyu jauh ditinggalkan pendahulu liga Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan perbezaan 14 mata.

Bekas kapten Sarawak musim lalu itu juga mahu rakan sepasukan membuktikan kemampuan masing-masing dengan aksi yang bertenaga untuk memburu kemenangan pertama dalam aksi pusingan kedua selepas tewas kepada pasukan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) itu dalam perlawanan pusingan pertama.

“Saya yakin pemain Terengganu mempunyai kemahiran tersendiri termasuk pemain import, saya mengajak diri saya dan rakan sepasukan memperagakan aksi terbaik untuk mencatat kemenangan bagi mengukuhkan kedudukan liga.

“Selain itu, aksi sebagai satu pasukan yang diterapkan jurulatih Mike Mulvey bakal dijadikan aset terbaik untuk memantapkan pasukan dalam pusingan kedua ini apatah lagi rakan sepasukan berada pada tahap prestasi terbaik,” katanya yang mahu penonton setia pasukan untuk membanjiri stadium malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2016 @ 12:38 PM