BERNAMA

George town: Kementerian Kesihatan sedang dalam perbincangan untuk menggubal undang-undang bagi mewajibkan setiap ibu bapa memberikan suntikan vaksin imunisasi kepada anak sebagai perlindungan daripada ancaman penyakit.

Menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, kementerian sudah mengadakan perbincangan dengan Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersetuju bahawa suntikan vaksin adalah wajib.

Beliau berkata Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan kenyataan ibu bapa harus memberikan anak mereka suntikan vaksin sebagai perlindungan.

"Kami masih dalam tahap perbincangan supaya satu undang-undang boleh digubal mewajibkan setiap ibu bapa di negara ini memberikan suntikan vaksin kepada anak-anak mereka," katanya selepas melawat Kuil Sri Muneeswarar di Jalan Tengku Kudin di sini, hari ini.

Beliau berkata, kementerian mempunyai vaksin khusus bagi mencegah penyakit difteria yang mencukupi namun masih ada kumpulan yang enggan mengambil vaksin itu.

Dr Subramaniam berkata, kumpulan itu sudah dikenal pasti dan kementerian melaksanakan langkah penyelesaian yang mungkin mengambil masa.

"Kami juga sedang mengkaji tindakan yang sewajarnya untuk memastikan perkara ini boleh diselesaikan dalam masa terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2016 @ 8:55 PM