KEADAAN gerabak kereta api selepas kemalangan berkenaan.  - Reuters
KEADAAN gerabak kereta api selepas kemalangan berkenaan. - Reuters
Reuters

Rome: Sekurang-kurangnya 20 orang maut dan puluhan lagi cedera apabila dua kereta api penumpang bertembung di selatan Itali semalam, kata jurucakap bomba..

Nahas berlaku di landasan tunggal di kawasan desa antara pekan Corato dan Andria. Dua kereta api itu masing-masing membawa empat gerabak.

Gambar dari udara menunjukkan gerabak kereta api musnah dan remuk teruk akibat kesan rempuhan dengan puing dilihat bertaburan di kawasan sekitar yang dipenuhi pokok zaitun.

Jurucakap bomba, Luca Cari berkata: “Kami bekerjasama dengan puluhan pasukan keselamatan untuk meleraikan gerabak itu.

“Seorang budak lelaki antara mangsa yang berjaya diselamatkan dari celah gerabak berkenaan. Usaha menyelamat agak sukar kerana nahas berlaku di kawasan desa.”

Pihak berkuasa tidak menyatakan punca nahas yang berlaku sekitar jam 11.30 pagi (waktu tempatan) ketika keadaan cuaca baik di wilayah Puglia.

Perdana Menteri Matteo Renzi memendekkan lawatannya ke Milan di utara negara itu untuk pulang ke Rome selepas menerima berita nahas itu.

“Kami tidak akan berpuas hati sehingga menerima penjelasan mengenai punca kejadian,” katanya.

Gambar diedarkan kepada media oleh bomba menunjukkan cuma empat gerabak yang masih berada di atas landasan. Satu gerabak tergelincir dari landasan manakala tiga lagi musnah sepenuhnya.

Datuk Bandar Corato, Massimo Mazzilli berkata: “Tempat kejadian tidak ubah seperti lokasi nahas kapal terbang.”

Landasan berkenaan dikendalikan syarikat kereta api Ferrotramviaria. Tidak dinyatakan jumlah penumpang sebenar kedua-dua tren berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2016 @ 10:34 AM