PEKERJA penyelamat mengeluarkan mayat dari gerabak kereta api. - Reuters
PEKERJA penyelamat mengeluarkan mayat dari gerabak kereta api. - Reuters
Reuters

Islamabad: Sekurang-kurangnya 21 orang maut apabila sebuah kereta api merempuh gerabak yang tidak bergerak di atas landasan di Karachi, nahas kedua membabitkan kereta api di negara itu dalam tempoh kurang dua bulan.

Rakaman televisyen menunjukkan gerabak remuk dan terbalik manakala pasukan penyelamat cuba membebaskan penumpang terperangkap.

Lalu lintas kereta api antara Karachi, bandar terbesar Pakistan dan kawasan lain di negara itu digantung selepas pelanggaran berhampiran stesen kereta api Landhi itu.

“Enam puluh lima orang cedera dalam kemalangan itu,” kata ketua jabatan kecemasan Hospital Jinnah, Seemin Jamali.

Menteri kereta api Pakistan, Khwaja Saad Rafique berkata, nahas berlaku antara kereta api Zakaria Express yang merempuh gerabak Fareed Express. Kira-kira 1,000 penumpang dipercayai berada di atas dua kereta api terbabit.

Khwaja berkata, nahas itu mungkin akibat kecuaian dengan pemandu tidak mengendahkan isyarat berhenti. Pemandu terbabit dan pembantunya juga dilaporkan menghilangkan diri.

“Saya mengarahkan siasatan disiapkan dalam tempoh 72 jam. Pihak yang bertanggungjawab tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan undang-undang,” kata Khwaja.

Pada September lalu, sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan 93 cedera apabila sebuah kereta api ekspres bertembung dengan kereta api barang berhampiran bandar Multan di wilayah Punjab.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2016 @ 7:50 AM