KREN, bomba dan pasukan penyelamat di lokasi kereta api penumpang dan kereta api membawa barangan bertembung di utara Greece. FOTO AP
KREN, bomba dan pasukan penyelamat di lokasi kereta api penumpang dan kereta api membawa barangan bertembung di utara Greece. FOTO AP
AP

Tempe, Greece: Kereta api membawa ratusan penumpang bertembung dengan kereta api membawa barangan di utara Greece, membunuh 32 orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 85 yang lain, menurut pegawai pada Rabu.

Beberapa gerabak tergelincir dari landasan dan sekurang-kurangnya tiga gerabak lain terbakar selepas nahas pada Selasa berhampiran bandar Tempe itu.

Pasukan penyelamat di lokasi pada awal pagi Rabu dalam usaha mereka mencari mangsa.

Beberapa individu terselamat berkata, ada penumpang yang tercampak keluar dari tingkap gerabak kereta api kerana impak perlanggaran itu.

Menurut mereka, penumpang berusaha untuk menyelamatkan diri selepas kereta api itu terhumban ke padang berhampiran landasan.

Seorang penduduk tempatan berkata, ketika tiba di lokasi, ramai penumpang yang terpinga-pinga dan mereka keluar dari pintu belakang gerabak.

Beberapa mangsa yang maut dipercayai ditemukan di restoran berhampiran gerabak depan kereta api berkenaan.

Dalam pada itu, pegawai di hospital di bandar berhampiran, Larissa berkata, 25 mangsa mengalami kecederaan serius.

Setakat ini, punca nahas masih belum diketahui.

Hellenic Train, yang menambah perkhidmatan kelajuan tinggi, dioperasikan oleh syarikat Itali, FS Group, yang mempunyai perkhidmatan di beberapa negara Eropah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2023 @ 2:46 PM