SEORANG mangsa terbaring cedera.
SEORANG mangsa terbaring cedera.
DUA wanita yang mengalami cedera ringan masih nampak terkejut.
DUA wanita yang mengalami cedera ringan masih nampak terkejut.
Agensi

Brussels: Penumpang di Lapangan Terbang Brussels menyifatkan keadaan selepas dua bom meletup tidak ubah seperti ‘kiamat’ dengan darah merata-rata selepas melihat mangsa terpelanting.

Penumpang yang berlumuran darah bertempiaran menyelamatkan diri ketika asap memenuhi ruangan berhampiran kaunter daftar masuk American Airlines.

“Saya melihat mangsa ‘terbang’ dengan mayat yang tercerai anggotanya dan bumbung runtuh. Dua letupan itu berlaku hampir serentak dan kedua-duanya di kaunter daftar masuk.

“Keadaan begitu dahsyat dan saya hanya nampak darah. Tidak ubah seperti kiamat,” kata Samir Derrouich yang bekerja di restoran di lapangan terbang itu.

Dries Valaert, 30, yang menunggu mendapatkan pas masuk berkata kejadian berlaku hanya 30 meter dari tempat dia berdiri.

“Saya mendengar letupan yang amat kuat sebelum siling runtuh. Kami semua mula berlari dan saya melompat di atas pagar keselamatan ke arah pintu perlepasan kerana menganggap lebih selamat.

“Ketika itu saya terfikir ada penyerang bersenjata api. Saya melihat seorang wanita berusia sekitar 18 tahun dengan tangannya berlubang dan berlumuran darah dan tiga lain yang terbaring.

“Semua orang panik dan lari bertempiaran,” katanya.

Katanya, dia percaya bom disorok dalam dua bagasi yang baru didaftar masuk kerana letupan datang dari arah belakang kaunter pendaftaran.

Gambar dan video yang tersebar di Internet menunjukkan orang ramai bertempiaran ketakutan keluar dari terminal berkenaan.

Hanya 90 minit kemudian, satu lagi letupan berlaku di stesen kereta api Metro berhampiran Maelbeek di Brussels. Keseluruhannya kira-kira 34 maut dan lebih 200 cedera dengan tujuh dalam keadaan kritikal.

Gambar dari stesen Maelbeek menunjukkan bangkai kereta api yang hangus dengan asap keluar dari stesen selain mangsa terbaring di kaki lima yang terletak hanya 400 meter dari ibu pejabat Kesatuan Eropah.

Pihak berkuasa pengangkutan awam Brussels berkata, tren tiga gerabak di Maelbeek hancur akibat satu letupan yang dilepaskan di gerabak di bahagian tengah.

Penumpang Metro berkata, mereka terdengar letupan kuat sebelum diarahkan keluar dari kereta api dan berjalan di atas landasan di dalam terowong yang dipenuhi asap ke stesen berhampiran.

Imej disiarkan media Belgium di Internet tidak disahkan pihak berkuasa tetapi tersebar luas di media sosial.

Mangsa, Alexandre Brans, 32, yang mukanya berlumuran darah berkata: “Kami meninggalkan Maelbeek sekitar jam 9.07 sebelum mendengar letupan kuat dari arah depan kereta api.

“Lampu terpadam dan semua mulai panik kerana sudah mengetahui apa yang berlaku di lapangan terbang.

“Pintu kereta api diumpil buka untuk membolehkan kami turun. Asap tebal menyelubungi dan kaca pada pintu kereta api semuanya pecah.” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2016 @ 8:56 AM