FOTO ihsan PDRM
FOTO ihsan PDRM
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Seorang lelaki maut apabila terbabit dalam kemalangan dua kenderaan yang dalam perjalanan untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri di Batu 12, Jalan JB-Melaka-Senggarang dekat Batu Pahat, pagi tadi.

Dalam kejadian 8.10 pagi, Eirwan Jupri, 51, yang memandu Proton Iswara maut di tempat kejadian manakala, dua anaknya, MuhamadFarizuddin, 11, dan Muhammad Wafiuddin, 9, cedera.

Turut terbabit, pemandu Toyota Rush, Saipuddin Aman, 54, yang berasal dari Gunung Soga dekat sini, yang mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, mangsa yang berasal dari Kampung Bukit Batu, Senggarang dekat sini, memandu keretanya dari arah Batu Pahat ke Senggarang.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa membuat pusingan U dan pemandu Toyota Rush yang dari arah sama, datang dari belakang serta cuba mengelak mangsa sebelum hilang kawalan dan berlanggar dengan kereta mangsa.

"Semua yang cedera dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini, untuk rawatan lanjut dan mayat mangsa turut dihantar ke HSNI untuk bedah siasat," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Julai 2016 @ 1:34 PM