KEADAAN motosikal mangsa (gambar kecil) selepas terbabit nahas.
KEADAAN motosikal mangsa (gambar kecil) selepas terbabit nahas.

Batu Pahat: “Saya sayangkan kamu dan anak-anak. Maaf, jika saya tidak dapat menjaga kamu dan anak lagi,” menurut catatan terakhir buku nota di sisi seorang lelaki yang ditemui mati akibat lemas terhidu asap kertas dibakar di dalam keretanya di Kampung Kelicap, Senggarang, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang, seorang pengusaha kedai telefon bimbit ditemui tidak bernyawa di dalam Toyota Vios diparkir berdekatan kebun sawit.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, mangsa ditemui dalam keadaan menyandar di kerusi pemandu, selain ada kesan melecur pada kaki kirinya.

“Pemeriksaan awal menemui beberapa kesan terbakar di dalam kenderaan. Polis menjumpai tin dipenuhi bara kertas di tempat duduk belakang.

“Kami percayai kertas ini dibakar mangsa sebelum dia mengunci pintu kenderaannya. Mangsa lemas akibat menghidu asap berkenaan,” katanya.

Menurutnya, antara barangan lain ditemui adalah buku cek, nota, tiga telefon bimbit, wang tunai RM1,272 dan 30 keping kad bank.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap identiti mangsa merungkai misteri kehilangan lelaki dilaporkan hilang oleh isterinya Khamis lalu di Balai Polis Senggarang.

“Mangsa dipercayai menghilangkan diri kerana masalah kewangan berdasarkan semakan terhadap buku nota ditinggalkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2016 @ 9:06 AM