Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Tiga suspek termasuk kakak kandung kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang maut didera di Senggarang, 26 Disember lalu, akan didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat, pagi esok.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, polis sudah mendapat arahan daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk menuduh ketiga-tiga suspek berkenaan.

"Tiga suspek termasuk kakak kandung kanak-kanak empat tahun yang didera sehingga maut di Senggarang, Batu Pahat, 26 Disember lalu, akan dituduh esok.

"Manakala dua lagi suspek akan menjadi saksi pendakwaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, di sini, hari ini.

Hadir sama, Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor, Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah.

Sabtu lalu, Mahkamah Majistret Batu Pahat dilaporkan melanjutkan tempoh perintah reman lima suspek kes dera kanak-kanak empat tahun di Senggarang, bermula Ahad sehingga Sabtu ini.

Majistret Zubaidah Mahat membenarkan permohonan sambungan reman oleh Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Mohd Shafiq Mohd Salleh daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat terhadap suspek termasuk pasangan suami isteri.

Semua suspek yang direman itu berusia antara 15 hingga 37 tahun

Pada 26 Disember lalu, seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan meninggal dunia ketika sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor selepas pengsan di sebuah rumah di Senggarang.

Kamarul Zaman dilaporkan mengesahkan punca kematian kanak-kanak malang itu akibat hentakan objek keras dan tumpul.

Pada awalnya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, namun pihak polis mengklasifikasikan semula kes ini akibat kematian mangsa iaitu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2023 @ 4:29 PM