Ramli menunjukkan komponen motosikal yang dirampas. FOTO Zuhairi Zuber
Ramli menunjukkan komponen motosikal yang dirampas. FOTO Zuhairi Zuber
Nur Saliawati Salberi


Melaka: Empat lelaki dipercayai ahli kumpulan 'Geng Man Bengkel' ditahan polis dalam dua serbuan berasingan di Jalan Pantai Kundor, Tanjung Kling, di sini, 28 Jun lalu.

Mereka ditahan kira-kira 10 pagi selepas diburu polis sejak empat tahun lalu kerana terbabit dalam aktiviti jenayah.

Ketua Polis Melaka Datuk Ramli Din berkata, dengan tertangkapnya empat suspek berusia 21 hingga 30 tahun itu, polis negeri ini berjaya menyelesaikan 11 kes jenayah termasuk ragut, curi motosikal dan pecah kedai dilakukan kumpulan terbabit.

"Kumpulan ini sudah aktif sejak 2012 bagaimanapun menghilang seketika sebelum kembali aktif pada tahun ini selain kesemua mereka turut positif dadah jenis methamphetamine.

"Turut dirampas pelbagai komponen motosikal, empat buah Yamaha RXZ, dua bilah pedang samurai serta pelbagai dokumen milik individu lain," katanya.

Menurutnya, kesemua mereka direman selama tujuh hari sehingga hari ini dan polis akan memohon tempoh reman disambung bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan jika terdapat pembabitan individu lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2016 @ 6:52 PM