MOHD Abdul Salam, 76, (kiri) berkata sesuatu kepada sanak saudaranya yang menziarahi arwah Nazaruddin di kediamannya di Kampung Pantai Kundor, Tanjung Kling. FOTO Hassan Omar
MOHD Abdul Salam, 76, (kiri) berkata sesuatu kepada sanak saudaranya yang menziarahi arwah Nazaruddin di kediamannya di Kampung Pantai Kundor, Tanjung Kling. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


BAPA yang sudah tujuh tahun menghidap sakit jantung dan mengharapkan kasih anak menjaganya, namun takdir Allah SWT menentukan anaknya ‘pergi’ dahulu akibat serangan jantung, semalam.

Mohd Abdul Salam, 76, yang sudah tiga kali menjalani rawatan memasang ‘sten’ pada salur darah di jantungnya pada tahun 2011, 2013 dan 2015 amat bergantung kepada anak bongsunya, Allahyarham Nazaruddin, 38, untuk menjaganya, selain membawanya berulang alik ke hospital.

Bagaimanapun, ketentuan Allah SWT apabila Nazaruddin yang lebih dahulu kembali ke Rahmatullah berikutan serangan jantung dialaminya pada awal pagi semalam.

Dengan nada cukup sayu Mohd berkata, anaknya mengalami serangan jantung ketika tidur di kediamannya di Kampung Pantai Kundor, Tanjung Kling, di Melaka, pada 3.30 pagi semalam.

“Arwah ada rumah di Bukit Rambai tetapi saya yang minta dia sekeluarga tinggal di rumah kami di Kampung Pantai Kundor bagi memudahkan membawa saya berulang alik ke klinik dan hospital.

“Arwah tidur di ruang tamu dengan empat anaknya manakala isterinya, Syarfalina Mohd Isa tidur dalam bilik. Tiba-tiba anak lelaki sulungnya mengejutkan ibunya apabila mendapati mulut arwah berbuih pada 3.30 pagi tadi (semalam),” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pantai Kundor, Melaka, hari ini.

Mohd berkata, menantunya mengejutkan dia dan isteri, Jamilah Baba, 71, untuk memberi bantuan kepada arwah selepas mendapatinya tidak menyahut dan bergerak sebelum segera menghubungi ambulans dan disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan (MA) Hospital Melaka.

Katanya, laporan bedah siasat mendapati punca kematian arwah adalah kerana serangan jantung berikutan tiga arteri koronarinya tersumbat.

Menurutnya, arwah Nazaruddin yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir di Sekolah Menengah Arab Darul Falah, Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah sebelum ini tidak pernah menjalani rawatan sakit jantung.

“Saya ingat arwah yang selalu membawa saya menjalani rawatan di hospital akan terus menjaga saya tetapi Allah SWT lebih sayang arwah dan memanggilnya ‘pulang’ lebih awal,” katanya.

Katanya, arwah anaknya dikebumikan kira-kira 6.30 petang semalam dengan dihadiri anggota keluarga, sanak saudara dan sahabat handai, terutama guru dan kakitangan sekolah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Disember 2018 @ 3:28 PM