BERNAMA

Kuala Lumpur: Syarikat pengendali televisyen berbayar Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) diminta telus menyatakan dengan lengkap harga pakej program, caj penalti dan sebarang perubahan harga yang dikenakan kepada pelanggan.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, Astro tidak boleh sewenang-wenangnya menetapkan harga pakej atau meletakkan caj atau penalti tersembunyi sehingga menyebabkan pengguna berasa tertipu.

"Saya berpendapat kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu tegas menyiasat isu ini dan mengambil tindakan sewajarnya.

"SKMM pada tahun lalu, pernah mengeluarkan kompaun terhadap Astro kerana melanggar Peruntukan Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia," katanya mengulas dakwaan seorang pengguna Astro yang memuat naik status di Facebook pada 29 Jun lalu, mendakwa dia dikenakan caj penalti yang tinggi oleh Astro jika mahu menukar pakej dan menamatkan langganannya.

Pengguna itu mendakwa Astro mengeluarkan notis bayaran untuk pakej sukan naik sebanyak RM8 dan apabila beliau mahu menamatkan langganan, dikenakan bayaran RM360.

Mohd Yusof berkata, selain caj atau penalti tersembunyi, Astro juga perlu mempertimbang memberi rebat atau pengurangan caj langganan jika berlaku gangguan siaran (tiada audio dan visual) akibat cuaca buruk.

"Astro harus berlaku adil kepada pelanggannya kerana apabila mereka melakukan kenaikan taraf untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan, pelanggan perlu menukar set lama dekoder mereka kepada yang baharu iaitu Astro Beyond termasuk piring satelit," katanya.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzmi Johan berkata, isu rungutan pengguna mengenai caj atau penalti tersembunyi dikenakan Astro bukan perkara baharu.

"SKMM perlu tegas terhadap Astro kerana pelanggan akan menerima pelbagai promosi untuk menambat pakej langganan mereka namun apabila mahu mengurangkan pakej program atau menamatkan perkhidmatan, pelanggan perlu membayar pula yang sepatutnya tidak berlaku," katanya.

Sehubungan itu, katanya, SKMM perlu mengeluarkan garis panduan agar penyedia saluran televisyen berbayar itu tidak bertindak seperti memerangkap pengguna dengan pelbagai caj tersembunyi tersebut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2016 @ 12:28 AM