GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bagi membantu rakyat menghadapi digitalisasi norma baharu sepanjang pandemik Covid-19, pemberian 1GB data harian secara percuma kepada pengguna dilanjutkan sehingga 31 Julai ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan keputusan berkenaan mendapat persetujuan lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama iaitu Celcom, Digi, Maxis, U-Mobile dan Telekom Malaysia (TM).

"Lanjutan terbaharu ini dibuat sebagai sokongan tambahan kepada rakyat, atas ehsan dan keprihatinan syarikat telekomunikasi memandangkan situasi pandemik Covid-19 di negara ini belum stabil.

"Ia juga untuk membantu pelajar sekolah beralih semula kepada Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selepas Aidilfitri seperti diumum Kementerian Pendidikan baru-baru ini," menurut SKMM dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kuota harian 1GB percuma adalah tambahan kepada pakej langganan data sedia ada dan boleh digunakan untuk mengakses platform sidang video serta menguruskan bahan pengajaran menerusi e-mel sepanjang hari tanpa sekatan waktu.

Bagaimanapun, ia tidak terpakai untuk melayari media sosial, penstriman video, penstriman muzik dan permainan dalam talian.

Sementara itu, YTL Communications Sdn Bhd (YTL) juga terus menyokong sistem pendidikan dengan melanjutkan inisiatif Learn From Home (LFH) sehingga 30 Sept ini yang turut merangkumi penuntut institusi pengajian tinggi.

Pakej istimewa ini menyediakan kad SIM percuma dengan data sebanyak 40GB, kandungan percuma dan telefon pintar percuma untuk pelajar daripada keluarga B40.

"SKMM berharap lanjutan pemberian 1GB data percuma harian sehingga 31 Julai dan sokongan lain yang disediakan sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada rakyat untuk menghadapi perubahan norma baharu dalam pendidikan, pekerjaan dan lain-lain.

"Kerajaan akan terus menggerakkan inisiatif-inisiatif seperti Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan Pelan Tindakan MyDIGITAL untuk memastikan agenda pembangunan berteraskan digitalisasi dilaksanakan secara inklusif tanpa ada golongan yang terpinggir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 10:40 AM