FOTO Arkib NSTP
FOTO Arkib NSTP
Murnaena Muhammad Nasir


SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati kualiti perkhidmatan industri kurier negara mencapai perkembangan positif sekali gus perlu dipertingkatkan demi kepuasan pelanggan.

Jabatan Komunikasi Korporat SKMM dalam satu kenyataan, hari ini, berkata, Penilaian Kurier Tahunan berasaskan Indeks Pelanggan Perkhidmatan Industri Kurier mendapati kualiti perkhidmatan industri kurier negara mencapai peningkatan kepada 70 peratus pada 2019, berbanding 66 peratus pada tahun sebelumnya.

"SKMM sentiasa komited dalam memastikan pemain-pemain industri pos dan kurier mempertingkatkan kualiti perkhidmatan untuk memberikan pengalaman pengguna yang memuaskan sejak 2010 lagi.

"Hasil penilaian ini menjadi kriteria utama bagi SKMM alam menentukan pemenang Anugerah Penghantaran E-Dagang Tahunan," katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan prestasi syarikat kurier dalam aspek penghantaran bungkusan memperlihatkan perkembangan positif.

"Secara purata sebanyak 87 peratus bungkusan diterima dalam tempoh tiga hari di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

"Dari segi aspek perkhidmatan pelanggan pula, purata masa menunggu mendapatkan perkhidmatan di kaunter adalah selama tiga minit dan purata tempoh perkhidmatan untuk setiap pelanggan adalah antara lima hingga 10 minit.

"Selain itu, dari aspek pelanggan didapati mereka mengutamakan aspek harga sebagai faktor penentu kepada kepuasan mereka, diikuti dengan ketepatan masa dalam penghantaran," katanya.

Katanya, pengumuman pemenang Anugerah Penghantaran E-Dagang 2019 anjuran SKMM dijangka akan dibuat pada suku keempat tahun ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, SKMM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam berkata, pihaknya berjaya mengendalikan 11,216 aduan iaitu 99.83 peratus daripada jumlah keseluruhan aduan diterima bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Menurutnya, pihaknya menerima sebanyak 11,235 aduan berkaitan media baharu membabitkan penggodaman, perjudian dalam talian, promosi pelacuran, pelanggaran hak cipta, pemalsuan, pornografi, hasutan dan sebagainya.

"Pihak SKMM berjaya mengendalikan 11,216 aduan iaitu 99.83 peratus daripada jumlah keseluruhan daripada 11,235 aduan itu.

"Ini termasuk 80.56 peratus aduan yang diberi nasihat, panduan dan pendidikan kepada masyarakat; 18 peratus aduan yang dirujuk kepada pihak penyedia platform media sosial untuk tindakan lanjut berasaskan terma dan syarat serta 1.27 peratus (143 aduan) yang didapati melanggar peruntukan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998," katanya.

Katanya, selepas melalui proses penyiasatan yang rapi, sebanyak tujuh kes sudah didakwa di mahkamah, manakala selebihnya masih dalam pelbagai peringkat siasatan seperti menunggu keputusan atau arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara.

Dalam kenyataan sama, SKMM berkata, sebanyak 0.17 peratus daripada aduan diterima berada di luar bidang kuasanya dan dirujuk kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.

"SKMM sentiasa tegas dalam menangani isu-isu penyalahgunaan media sosial dan usaha penguat kuasaan akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan ketenteraman awam terpelihara.

"Oleh itu, orang ramai diminta tampil membuat aduan sekiranya terdapat maklumat mengenai penyalahgunaan media sosial atau internet melalui portal https://aduan.skmm.gov.my atau e-mel kepada [email protected]," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 6:05 PM