KEADAAN trak pikap tentera yang rosak selepas terkena letupan bom yang ditanam di jalan raya.
KEADAAN trak pikap tentera yang rosak selepas terkena letupan bom yang ditanam di jalan raya.

Narathiwat: Seorang askar maut manakala tiga lagi cedera selepas kenderaan yang mereka naiki terkena bom yang ditanam di jalan di daerah Rangae di sini semalam.

Ketua balai polis Rangae, Apichart Dolo berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.20 pagi ketika dua pikap tentera keluar dari Sekolah Darul Hikmah di Ban Pumo, Kalisa.

Tujuh askar yang menaiki dua trak pikap itu dalam perjalanan pulang ke pangkalan mereka selepas mengiringi guru dan pelajar ke sekolah.

Tidak lama selepas kenderaan itu keluar dari kawasan sekolah, sebutir bom yang ditanam di jalan meletup.

“Bom itu meletup betul-betul di bawah sebuah pikap yang dinaiki empat askar dan menyebabkan kenderaan itu tercampak ke bahu jalan.

“Letupan itu menyebabkan semua empat mangsa dalam kenderaan berkenaan cedera tetapi seorang disahkan maut ketika dirawat di hospital,” katanya.

Menurutnya, bom itu diletupkan dari jarak jauh dan penyerang menunggu kenderaan tentera melaluinya sebelum mengaktifkan letupan.

“Tiga lagi anggota tentera yang cedera dirawat di Hospital Rangae dan keadaan mereka dilaporkan stabil,” jelasnya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2016 @ 9:44 AM