KEADAAN trak pikap yang melanggar sebatang pokok selepas diserang hendap.
KEADAAN trak pikap yang melanggar sebatang pokok selepas diserang hendap.

Narathiwat: Tiga anggota polis terbunuh dan enam lagi cedera selepas kenderaan yang dinaiki mereka diserang hendap sekumpulan lelaki bersenjata berhampiran kampung Moh Sawa di daerah Rangae, di sini semalam.

Jurucakap polis, Apichart Dolor berkata, serangan berlaku kira-kira jam 1 tengah hari ketika trak pikap yang membawa sembilan anggota polis itu dalam perjalanan ke balai polis Chanae.

“Sekumpulan lelaki bersenjata yang bersembunyi di tepi jalan melontar beberapa bom tangan ke arah trak itu menyebabkan ia hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pokok.

“Penyerang kemudian menembak trak itu bertalu-talu menyebabkan tiga anggota polis maut dan enam cedera,” katanya.

Menurutnya, empat anggota polis yang cedera itu dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

“Sepasukan anggota polis dan askar yang datang memberi bantuan menemui trak itu penuh dengan kesan tembakan dan masih terlekat di pokok.

“Tiga mangsa yang maut ditemui dalam kenderaan itu dan tubuh mereka penuh dengan kesan tembakan,” jelasnya.

Tambahnya, anggota polis berkenaan dalam perjalanan untuk menyertai operasi memburu beberapa lelaki bersenjata yang menyerbu Hospital Cho Airong di sini pada 13 Mac lalu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2016 @ 11:32 AM