MUSTAPA (tiga dari kiri) menandatangani  buku Laporan MITI 2015 sebagai simbolik majlis pelancaran.
MUSTAPA (tiga dari kiri) menandatangani buku Laporan MITI 2015 sebagai simbolik majlis pelancaran.
Hafz Ithnin

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan terus memperkasakan aktiviti perdagangan dan menarik lebih banyak kemasukan pelaburan asing ke dalam negara bagi berdepan dengan situasi ekonomi yang lebih mencabar pada tahun ini berbanding tahun lalu.

Langkah itu dilakukan menerusi penubuhan Majlis Eksport Negara yang akan memfokuskan kepada eksport dalam bidang perkhidmatan antaranya pelancongan, pendidikan pelancongan kesihatan dan perunding pembinaan.

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, dari segi menarik lebih banyak kemasukan pelaburan ke Malaysia, kementeriannya menerusi agensi yang bertindak sebagai agen mempromosikan pelaburan diterajui oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Beliau berkata, selain Mida, turut terbabit ialah koridor ekonomi seperti Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Iskandar Malaysia serta InvestKL bagi Greater KL.

“Semua agensi ini terbabit dalam aktiviti menarik dan mempromosikan pelaburan negara. Maka, kita mahu selaraskan supaya lebih fokus kepada usaha-usaha meningkatkan nilai pelaburan negara dalam persekitaran ekonomi yang mencabar ketika ini.

“Selain itu, daripada segi pasaran baru, kita mempunyai cadangan untuk mengadakan ‘Hari Afrika’ setelah mengadakan pertemuan dengan kedutaan negara berkenaan pada bulan lalu dalam usaha meningkatkan dagangan Malaysia dengan negara-negara di rantau berkenaan,” katanya pada majlis pelancaran Laporan MITI 2015 di sini, semalam.

Laporan itu mengandungi semua aktiviti dan usaha yang dilaksanakan kementerian berkenaan dan agensinya tahun lalu selain data perdagangan dan pelaburan 2015.

Sementara itu, Mustapa turut mengendalikan program pembabitan antara pemain industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bersama industri aeroangkasa.

Program berkenaan adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk memastikan pembangunan jangka panjang industri aeroangkasa tempatan seperti yang digariskan dalam Projek Permulaan Kelapan (EPP8) Perkhidmatan Perniagaan di bawah Program Tansformasi Ekonomi: Membangunkan PKS dalam Industri Pembuatan Aeroangkasa Global.

Matrade, bekerjasama dengan Pejabat Penyelarasan Industri Aeroangkasa Kebangsaan (NAICO), akan membawa PKS terbabit untuk menyertai Program Aeroangkasa Cranfield dari 18 hingga 22 Julai dan Pertunjukan Udara Antarabangsa Farnborough dari 11 hingga 17 Julai di United Kingdom, bertujuan mendedahkan mereka kepada landskap industri aeroangkasa global.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2016 @ 7:03 AM