Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyasarkan pembabitan 25 peratus pemain perusahaan kecil dan sederhanana (PKS) ke dalam aktiviti eksport negara menjelang 2020 berbanding 19 peratus tahun lalu.

Sasaran itu dijangka dapat dilaksanakan menerusi pelbagai aktiviti yang dirancang MITI antaranya pembinaan kapasiti dan mempromosikan aktiviti eksport dalam kalangan pemain PKS.

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, PKS memainkan peranan besar dalam pelbagai aspek perkembangan ekonomi negara memandangkan 98 peratus perniagaan Malaysia adalah disumbangkan oleh golongan berkenaan.

Beliau berkata, menerusi perkembangan itu, PKS juga sudah membantu menyumbang 33 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta 33 peratus kepada pengwujudan peluang pekerjaan.

“MITI sudah melaksanakan pelbagai program bagi memperkasakan PKS dan enterpris mikro pada tahun lalu antaranya Program Pemecut Perniagaan (BAP), Pameran Inovatif PKS (SMIDEX 2014) dan Satu Daerah Satu Industri.

“Malah, pemerkasaan PKS juga akan membantu meneruskan pencapaian peningkatan eksport negara yang mencatatkan pertumbuhan 5.9 peratus kepada RM1.45 trilion berbanding RM1.37 trilion pada 2013,” katanya selepas melancarkan Laporan MITI 2014, di sini semalam.

Dalam laporan itu, MITI membentangkan beberapa pencapaian negara menerusi kementeriannya antaranya prestasi dagangan dan industri, unjuran ekonomi Malaysia dan global, hubungan dagangan dan ekonomi antarabangsa, pelaburan dan pembuatan, perkhidmatan dan halal, PKS dan pembangunan usahawan.

Sementara itu, ketika diminta mengulas kesan pelasksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada PKS, katanya, MITI menerusi agensinya SME Corp akan membuat tinjauan bermula minggu depan untuk mengetahui maklum balas cukai dan kesan kepada perniagaan golongan itu.

Katanya, maklum balas itu dijangka dapat disiapkan pada penghujung Jun ini dan pihaknya akan melihat kesan GST secara keseluruhan dalam kalangan peniaga terutama PKS.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2015 @ 7:54 AM