Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengunjurkan syarikat peringkat pertengahan (MTCs) mampu merekodkan pertumbuhan kukuh dua angka pada tahun ini sama seperti tahun lalu meskipun ekonomi global berdepan cabaran yang sukar dijangka.

MITI menerusi agensi di bawahnya, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) melaksanakan Program Pembangunan Syarikat Peringkat Pertengahan (MTCDP) yang diperkenalkan pada 2014, berjaya membantu MTCs mencatatkan pertumbuhan eksport 36.7 peratus kepada RM5.67 bilion pada tahun lalu berbanding RM1.52 bilion pada tahun sebelumnya.

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sehingga kini terdapat 152 MTCs mewakili pelbagai sektor termasuk elektrik dan elektronik, ICT, komponen dan bahagian automotif serta pemprosesan makanan menyertai MTCDP sejak program itu dilaksanakan.

Beliau berkata, pihaknya juga mengadakan dialog dengan pemain industri berkenaan bagi mengenal pasti perkara yang boleh meningkatkan prestasi eksport.

“Pada dialog kali ini, mereka membangkitkan pelbagai isu termasuk berkaitan halangan bukan tarif yang dihadapi syarikat berkaitan untuk memasuki pasaran luar seperti ASEAN.

“Isu halangan bukan tarif antaranya kerenah pentadbiran dalam kerajaan. Sebagai contoh sektor farmaseutikal yang berdepan kesukaran untuk memasuki pasaran ASEAN walaupun kita sudah berada dalam satu komuniti,” katanya selepas mengadakan sesi dialog bersama MTCs di sini, semalam.

MTCs adalah syarikat berpendapatan tahunan antara RM20 juta dan RM500 juta dalam sektor perkhidmatan yang mana terdapat 9,900 syarikat berkenaan berdaftar di negara ini dengan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) RM347.1 bilion pada tahun lalu.

MTCDP pula adalah program sembilan bulan bagi meningkatkan keupayaan dan pendapatan eksport, sekali gus berperanan menjadikan MTCs sebagai peneraju serantau atau global.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai sekiranya kerajaan mengurangkan peruntukan dana kepada MITI dalam Belanjawan 2017, beliau berkata, pihaknya akur sekiranya perkara itu berlaku dan berharap tiga perkara utama dalam perdagangan dapat terus diberi perhatian iaitu eksport, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pelaburan.

Katanya, dalam keadaan ekonomi mencabar ketika ini, pihaknya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan aktiviti mempromosi dan galakan perdagangan yang perlu dipertingkatkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2016 @ 7:16 AM