Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Malaysia berada di landasan tepat bagi mengekalkan pertumbuhan kukuh dalam segmen eksport komponen dan alat ganti aeroangkasa.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, tahun 2016 menunjukkan sektor berkenaan mendapat momentum terbaik apabila mencatatkan pertumbuhan yang kukuh.

Beliau berkata, pada 2016, eksport produk aeroangkasa Malaysia merekodkan peningkatan ketara 32.6 peratus kepada RM5.53 bilion berbanding RM4.17 bilion pada tahun sebelumnya dengan alat ganti dan komponen aeroangkasa menjadi eksport utama.

“Pertumbuhan positif itu digambarkan dalam jumlah hasil yang dicatatkan pada 2016 iaitu RM12.7 bilion.

“Ia adalah tahun yang luar biasa khususnya bagi subsektor pembuatan aeroangkasa yang memperoleh hasil RM6.4 bilion, kenaikan sebanyak 11 peratus berbanding 2015,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, subsektor penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) merekodkan pendapatan sebanyak RM5.7 bilion disokong oleh pengembangan dalam aktiviti MRO komponen dan enjin pesawat.

Katanya, pada 2016, sembilan projek aeroangkasa dengan pelaburan berjumlah RM1.6 bilion diluluskan termasuk RM889.4 juta daripada pelaburan asing.

Projek berkenaan dijangka menjana 1,766 peluang pekerjaan dan sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membangunkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi mengambil bahagian dalam rangkaian pembekalan aeroangkasa global, satu program pembangunan PKS yang berstruktur dilancarkan di bawah Program Transformasi Ekonomi Projek Permulaan Perkhidmatan Perniagaan (EPP8).

Pada 2016, 10 PKS dipilih bagi menyertai program itu dan 10 lagi dipilih pada tahun ini.

Beliau berkata, satu set indikator petunjuk prestasi utama yang baru perlu dicapai untuk EPP8 tahun ini iaitu jualan terkumpul RM24.6 juta bagi 20 PKS dan 500 permohonan sebut harga untuk 10 PKS baru pada 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2017 @ 6:07 AM