Anyonghaseyo!!! Belum terlambat lagi, penulis ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan semua penyanyi yang berjaya membawa pulang trofi di Anugerah Muzik Asia Mnet (MAMA) 2014 baru-baru ini.

Terutamanya buat anggota kumpulan Big Bang, Taeyang yang nampaknya cukup menyerlah malam itu membuktikan kerjaya solonya juga setanding G-Dragon. Pada acara berprestij itu, penyanyi berkenaan berjaya membawa pulang trofi Artis Lelaki Terbaik, Persembahan Vokal Lelaki Terbaik dan Lagu Terbaik Tahun Ini UnionPay.

Tidak kurang hebatnya juga, EXO turut me-nyinar pada malam gilang-gemilang itu sekali gus membuktikan mereka adalah kumpulan K-Pop paling berpengaruh saat ini.

Bagaimanapun, tidak terlepas daripada belenggu spekulasi juga, seorang anggota EXO iaitu Chanyeol didakwa muntah di belakang pentas sewaktu mengadakan persembahan. Video yang dirakamkan peminat itu tersebar namun tidak dinafikan Chanyeol mungkin penat kerana dialah anggota paling sibuk.

Hallyu! minggu ini sangat istimewa kerana buat pertama kalinya Samsung Malaysia Electronics Sdn Bhd berbesar hati memberikan hadiah menarik khas buat pembaca kolum ini. Caranya mudah saja, jawab kuiz di bawah serta melengkapkan slogan dan mematuhi syarat penyertaan.

Melancarkan produk terbaru khusus kepada audio berkualiti dinamakan Samsung Level, produk dikhususkan kepada telefon bimbit berkenaan menampilkan empat siri semuanya iaitu Level Over, Level On, Level In dan Level Box.

Dicipta khas untuk kepuasan pengguna, Level Over misalnya adalah 'headphone' yang mempunyai kelebihan seperti bunyi organik definisi tinggi, reka bentuk ergonomik yang selesa, kawalan sentuhan dan jalinan tanpa wayar serta 'bluetooth'.

Apapun berbalik kepada kisah hangat Hallyu! minggu ini, tidak pasti tindakan penyanyi Henry di hadapan media sama ada lucu atau sebaliknya baru-baru ini nyata begitu selamba.

Penyanyi berkenaan yang muncul di lapangan terbang Gimpo sememangnya sedang dinantikan peminat serta media. Dia dikatakan mahu berlepas ke Osaka, Jepun untuk menjayakan sebuah persembahan Super Show 6 di sana.

Mengenakan pakaian sejuk berbulu berwarna biru serta memakai kaca mata, dia bagaimanapun masih boleh dicam.

Menyedari kehadiran media di sana juga dia secara tiba-tiba mengeluarkan mesin pemotong janggutnya dan selamba memotong misainya depan khalayak.

Hanya reaksi spontan, ternyata tindakan Henry itu hanyalah untuk menghiburkan semua yang datang menunggunya dan sebelum beredar ke ruang pelepasan, dia sempat memberikan 'pose' terbaik ke arah jurukamera.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Disember 2014 @ 5:00 AM