FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Mohd Hilmie Hussin


Melaka: Sembilan lelaki dan seorang wanita terselamat apabila sempat keluar dari rumah ketika dua rumah di Jalan Parameswara, di sini, musnah dalam satu kebakaran kira-kira jam 11 pagi tadi.

Difahamkan, api bermula dari rumah tinggal sebelum ditiup angin dan merebak ke rumah dua tingkat separuh kekal yang berada di sebelahnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, TPgB Khairuddin Jamaludin berkata, rumah tinggal terbabit musnah 100 peratus, manakala sebuah lagi rumah yang didiami, musnah 90 peratus.

"Kita menerima panggilan jam 11.11 pagi dan jentera tiba di lokasi 13 minit kemudian sebelum api berjaya dikawal jam 11.43 pagi," katanya.

Kebakaran itu menyebabkan asap hitam tebal menjulang tinggi, namun tindakan pantas bomba berjaya mengelakkan api merebak ke bangunan bekas rumah anak yatim Fatimah, bangunan rumah lain dan Sekolah Kebangsaan Convent Infant Jesus 2.

"Kebakaran tidak membabitkan kemalangan jiwa namun punca sebenar dan anggaran kerugian masih dalam siasatan," kata Khairuddin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2016 @ 2:04 PM