Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Lapan lelaki ditahan polis dalam dua serbuan berasingan di sekitar Kempas, awal pagi tadi selepas disyaki terbabit dalam kes samun bersenjata, membabitkan kerugian kira-kira RM40,000.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, enam lelaki ditahan 2.30 pagi tadi selepas serbuan ke atas rumah di Kampung Sinaran Kempas di sini, susulan kejadian samun malam tadi.

"Pada 11.15 malam tadi, kedai telefon bimbit di Taman Impian Emas, Skudai di sini, disamun sekumpulan lelaki dipercayai bersenjatakan parang, pisau dan tukul.

"Dalam kejadian itu, kumpulan suspek ini melarikan 12 telefon bimbit serta beberapa barangan lain termasuk kad prabayar dan wang tunai yang dianggarkan kira-kira RM40,000," katanya.

Mohd Taib berkata, susulan serbuan pertama, pihaknya menahan dua lagi lelaki dipercayai ahli kumpulan terbabit di Taman Sinaran Kempas di sini.

"Dua lagi lelaki ditahan oleh anggota unit peronda (MPV) 4.30 pagi tadi (semalam) ketika menaiki kereta," katanya.

Menurut beliau, kelapan-lapan suspek yang berusia antara 17 hingga 32 tahun itu ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2016 @ 6:21 PM