PEMAIN Albania giat berlatih bagi menghadapi Romania.
PEMAIN Albania giat berlatih bagi menghadapi Romania.
Reuters

Lyon, Perancis: Selepas aksi bertahan ketika tewas kepada Switzerland dan Perancis, Albania perlu mencari gol apabila bertemu Romania, kata jurulatih Gianni De Biasi menjelang perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A hari ini.

Albania tewas 0-1 kepada Switzerland pada perlawanan pembukaan sebelum rebah 0-2 di tangan Perancis selaku tuan rumah, tetapi jentera serangan mempamerkan aksi meyakinkan apabila dilihat mencipta pelbagai peluang di depan gawang lawan.

Romania juga turun dengan misi untuk menang bagi menghidupkan peluang mara ke pusingan kedua selepas seri 1-1 bertemu Switzerland. Sebelum itu, mereka tewas 1-2 kepada Perancis.

“Saya yakin kami boleh layak ke pusingan kedua,” kata De Biasi kepada wartawan ketika barisan pemainnya menjalani latihan semalam.

“Jika kami dapat menjaringkan gol yang gagal dilakukan ketika bertemu Switzerland dan Perancis, kami mungkin meraih tiga mata penuh untuk membuka peluang beraksi pada saingan kalah mati,” katanya.

Pengendali berusia 60 tahun dari Itali itu mengakui Albania perlu mengatasi masalah hilang fokus yang menjadi punca kekalahan dalam kedua-dua perlawanan sebelum ini.

Mengenai kekalahan kepada Perancis di Marseille, beliau berkata: “Barisan pemain saya beraksi bagus sehingga hujung perlawanan tapi tidak bertahan dengan baik terutama pada separuh masa pertama serta permulaan babak kedua.

“Apabila anda tidak memanfaatkan peluang untuk menjaringkan gol, anda tidak akan memperoleh keputusan yang bagus.

“Pemain saya sudah beraksi dengan baik tetapi kami dikecewakan dengan gol saat akhir.”

Pemain Romania Razvan Rat, pemain tengah Bogdan Stancu dan Mihai Pintilii kesemuanya berdepan kecederaan.

Andone yang tidak beraksi ketika bertemu Switzerland tetapi masuk sebagai gantian ketika bertemu Perancis, mungkin kembali dalam kesebelasan utama bertemu Albania selepas penggantinya, Claudiu Keseru dilihat tidak memberi impak ketika bertemu Switzerland.

“Kami mesti menunjukkan mentaliti untuk menang apabila bertemu Albania,” kata Andone.

“Perlawanan itu pasti sukar kerana Albania pasukan bagus. Mereka sangat rajin dan agresif.

“Tapi kami juga sedar kemenangan mungkin membawa kami ke pusingan kedua. Jadi kami akan memberikan fokus 100 peratus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2016 @ 5:23 AM