SUASANA di Manong, Kuala Kangsar. FOTO Danial Saad
SUASANA di Manong, Kuala Kangsar. FOTO Danial Saad


Kuala Kangsar: Masyarakat Cina di Parlimen Kuala Kangsar mula sedar hanya Barisan Nasional (BN) mampu memberikan peruntukan pembangunan sekaligus dapat menjamin dan membela nasib mereka di kawasan berkenaan.

Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun, berkata berdasarkan beberapa siri program MCA turun padang di sekitar kawasan Kuala Kangsar, masyarakat Cina menunjukkan respons positif menyatakan sokongan kepada calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid pada pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu 18 Jun ini.

“Ini kerana sentimen dan perasaan saya apabila turun padang kali ini amat berbeza berbanding 2008 dan 2013 (pilihan raya umum).

“Keadaan dan senario politik di negara kita berubah dan mereka (masyarakat Cina) telah mula sedar bahawa pembangkang hanya pandai menabur janji tetapi tidak mampu menunaikannya.

“Masyarakat Cina telah mula yakin dengan kepimpinan BN yang banyak berbakti dan berjuang untuk rakyat secara keseluruhannya dan ia telah berhasil mengembalikan sokongan mereka (rakyat) kepada pemimpin dan kerajaan,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bercakap kepada pemberita selepas program turun padang bersama masyarakat Cina Kampung Baru Jerlun dekat Manong, di sini, hari ini.

Parlimen Kuala Kangsar mempunyai 32,949 pemilih berdaftar dan daripada jumlah itu seramai 7,757 orang merupakan pengundi Cina.

PRK Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.

PRK pada 18 Jun ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Datin Mastura Mohd Yazid, Dr Najihatussalehah Ahmad (PAS), Prof Dr Ahmad Termizi Ramli (Parti Amanah Negara) dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Jun 2016 @ 7:00 PM