Yusliza Yakimir Abd Talib

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, busana Muslim semakin diterima masyarakat malah lebih diadaptasi dengan gaya hidup kini. Buktinya, semakin banyak rekaan dan butik pakaian lelaki selari usaha untuk mengejar persaingan pasaran fesyen Muslimah.

Seperti fesyen Muslimah, gaya sopan tapi ranggi menjadi pilihan trend fesyen lelaki kini sehingga mendorong kaum Adam untuk tampil lebih berani dan berkeyakinan tinggi dalam aspek pemakaian.

Justeru, pengasas butik Stail Seratus, Habib Abdul Rauf Yunus menampilkan rekaan kurta yang unik kerana menggabungkan tiga warna seakan-akan mengikut warna bendera negeri seperti Johor, Selangor dan Negeri Sembilan.

Menamakan koleksi itu sebagai Kurta Ultras, jenama itu menawarkan harga mampu milik dan koleksi rekaan terkini bakal memberi nuansa baru dalam industri pakaian sedia dipakai khususnya buat lelaki.

Habib berkata, butik itu ditubuhkan kerana melihat warna rekaan pakaian lelaki di pasaran yang sama selain faktor harga yang dirasakan terlalu mahal untuk pembeli.

“Kami berpendapat pemakai akan lebih yakin dan bergaya kerana mempertaruhkan rekaan di luar kebiasaan selaras moto butik iaitu jenama berkualiti yang semestinya melonjakkan saham personaliti anda.

“Kami ingin menampilkan sesuatu di luar kebiasaan dan berpegang pada konsep berani dan berkeyakinan tinggi dalam memperagakan Kurta Ultras walaupun menampilkan warna garang dan terang,” katanya.

Menurutnya, buat masa ini, tiga kombinasi warna pada tiga rekaannya diyakini dapat menyerlahkan sisi maskulin pemakai.

Pemilihan warna dan rekaan seperti watak adiwira dan warna bendera menambah keunikan dan mencipta impak pada pemakai.

Selain itu, teknologi air max cooler dalam pembuatan kain memberi keselesaan kepada pemakai khususnya bagi mereka yang mudah berpeluh. Tekstur kain Santana ini memberi keselesaan untuk si jejaka tampil formal dan sopan dalam apa jua acara majlis.

Keselesaan dan penampilan lebih bergaya menjadikan material ini sesuai untuk dipakai oleh semua peringkat umur.

Koleksi Kurta Ultras mula dipasarkan sejak awal bulan ini menerusi Facebook dan Instagram Stail Seratus. Pada Disember akan datang, kurta ini boleh didapatkan secara rasmi melalui ejen butik di Brunei, Singapura dan Indonesia.

Setiap rekaan melambangkan warna yang sinonim serta boleh dipakai dengan semua jenis seluar dan diperagakan mengikut cita rasa sendiri.

Kolar pada kedua belah tangan dan zip pada baju menjadi ciri penting. Paling penting ia mudah digosok dan senang dicuci kerana material kain yang berkualiti tinggi.

“Kami menawarkan harga pratempahan RM69 dan akan kembali pada harga normal RM118 mulai Disember. Setiap tempahan tidak dikenakan kos pos kecuali dari luar Malaysia.

“Perancangan masa depan, Stail Seratus akan mengeluarkan pakaian wanita dan kanak-kanak dan koleksi ini bakal mewarnai industri fesyen tanah air. Kami yakin konsep pemakaian yang menepati ciri syariah dan mengekalkan kesopanan akan diterima baik,” katanya.

Tempahan dan pembelian boleh dibuat melalui dalam talian sama ada di Facebook Stail Seratus dan Instagram Stail.seratus atau emel ke [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2016 @ 5:04 AM