Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Seremban: Seorang juruteknik yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Pedas Indah, Rembau, dekat sini maut apabila motosikal ditunggangi merempuh bahagian belakang lori di Kilometer 258 Jalan Rasah menghala ke Port Dickson, di jejambat Rasah Jaya, pagi tadi.

Sumber berkata, dalam kejadian 2.40 pagi itu, mangsa, Muhammad Akmal Arifen, 23, dikatakan pulang dari tempat kerjanya di Melaka sempat menonton wayang bersama rakan-rakan di Seremban 2, di sini, malam tadi.

Katanya, mangsa yang dalam perjalanan pulang ke rumah dengan menunggang motosikal dikejutkan kehadiran lori yang mengakibatkannya merempuh bahagian belakang kenderaan terbabit.

"Akibat rempuhan itu, mangsa terjatuh sejauh lima meter dan meninggal dunia di lokasi kerana pendarahan di kepala," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Disember 2014 @ 10:34 AM