Kemalangan dekat susur keluar tol Simpang Ampat, Alor Gajah, Melaka, bulan lalu dan pandangan dari dalam dalam ambulans yang terhalang. - Foto Fail
Kemalangan dekat susur keluar tol Simpang Ampat, Alor Gajah, Melaka, bulan lalu dan pandangan dari dalam dalam ambulans yang terhalang. - Foto Fail
BERNAMA

Kuala Selangor: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan berkompromi dan akan mengheret pengguna jalan raya yang menggunakan lorong kecemasan ke mahkamah berkuatkuasa serta-merta.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad berkata mereka yang masih berdegil menggunakan lorong itu akan dihadapkan ke mahkamah mengikut Kaedah 9 dan 53 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak kurang setahun.

"Sebelum ini mereka hanya dikenakan saman RM300 tetapi kita lihat jumlah saman itu agak rendah dan tidak memberi kesedaran kepada mereka.

“Sebab itu kita memandang perkara ini serius sekali gus mengambil tindakan mahkamah yang membolehkan mereka disaman maksimum RM2,000 atau penjara setahun," katanya selepas merasmikan pembukaan pejabat cawangan JPJ Kuala Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas 91 pemilik kenderaan yang dikenal pasti menggunakan lorong kecemasan di KM228 Lebuhraya PLUS, di Melaka, bulan lalu, sehingga menghalang ambulans.

Ismail berkata, tujuh pemilik kenderaan sudah memberikan keterangan kepada JPJ dan akan didakwa di mahkamah kerana kesalahan berkenaan.

“Seramai 84 lagi diberi tempoh sehingga 16 Jun ini untuk memberi keterangan, jika gagal tindakan mahkamah akan terus diambil terhadap mereka,” katanya.

Dalam kemalangan kira-kira 3.30 petang dekat susur keluar tol Simpang Ampat, Alor Gajah, Melaka, penunggang dan pembonceng sebuah motosikal iaitu adik dan dan abang terlanggar sebuah kereta rosak menyebabkan kedua-dua mereka cedera parah.

Namun ambulans pertama yang terhalang akibat pemandu menggunakan laluan kecemasan tiba sejam kemudian walaupun perjalanan biasa hanya 15 minit manakala ambulans kedua sampai selepas dua jam.

Dua beradik meninggal dunia di Hospital Seremban keesokannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2016 @ 10:04 PM