VAN Persie (tengah) jaring gol kedua United.
VAN Persie (tengah) jaring gol kedua United.

Southampton: Pengurus Manchester United Louis van Gaal mengaku beliau terhutang budi dengan Robin van Persie selepas penyerang kebangsaan Belanda itu meledak dua gol untuk membantu United melakar kemenangan 2-1 di Southampton.

United masih mampu mencatat kemenangan di St Mary’s awal pagi semalam di sebalik aksi di bawah tahap sebenar yang menyaksikan hanya mampu melakukan tiga percubaan tepat dengan Van Persie menjaringkan gol masing-masing di babak pertama dan kedua.

Kemenangan itu yang kelima berturut-turut dilakar United dan melonjakkan mereka ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris menjelang perlawanan di tempat sendiri bertemu Liverpool, hujung minggu ini.

Bagaimanapun Van Gaal menganggap anak buahnya bernasib baik kerana mencatat kemenangan itu.

“Jaringan itu bukan saja membuktikan kemampuan Van Persie.

“Dia salah seorang daripada tiga pemain yang beraksi dengan baik atau mungkin sangat baik,” katanya.

Van Gaal enggan mendedahkan identiti dua lagi pemain yang dimaksudkan itu dan bila ditanya persembahan baki pemain lain termasuk pemain simpanan, beliau berkata: “Mereka tidak beraksi dengan baik.

“Memang penilaian dilihat menerusi sama ada baik atau buruk, tapi mereka tidak beraksi dengan baik.

“Biasanya anda mempunyai enam, tujuh atau lapan pemain yang sangat bagus dan tiga lagi sebaliknya. Tapi pada perlawanan ini, rata-rata pemain tidak beraksi dengan baik.

“Agak menarik apabila menduduki tangga ketiga liga, tapi saya harap kami dapat mempamerkan persembahan lebih bagus lagi sebab kali ini kami agak bernasib baik,” katanya.

Van Persie meletakkan United di depan pada minit ke-12 sebelum Graziano Pelle menjaringkan gol penyamaan sejam selepas itu.

Van Persie kemudian meledak gol kedua pada minit ke-71 selepas menyempurnakan sepakan percuma Wayne Rooney. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Disember 2014 @ 6:51 AM