Derby, United Kingdom: Jaringan Daley Blind dan Juan Mata (gambar) pada separuh masa kedua melegakan pengurus Manchester United Louis van Gaal ketika pasukan itu menewaskan kelab divisyen dua, Derby County 3-1 pada perlawanan Piala FA semalam.

Van Gaal mengakui sebelum pertemuan pusingan keempat itu kekalahan di Stadium iPro boleh menyebabkan beliau kehilangan jawatan selepas melihat pasukannya diejek berikutan kekalahan 0-1 kepada Southampton di Old Trafford.

Namun selepas jaringan pembukaan hebat Wayne Rooney disamakan George Thorne, Blind dan Mata kemudian menyumbang gol kemenangan bagi membawa United ke kelompok 16 pasukan terakhir, sekali gus meringankan sedikit beban Van Gaal.

“Kami membiarkan mereka menyamakan kedudukan tapi ketika rehat, saya memberitahu pemain mereka memberikan persembahan baik dan perlu meneruskannya. Akhirnya kami menang. Kami berjaya melakukannya,” kata Van Gaal.

“Liga Perdana Inggeris amat penting. Tapi Piala FA adalah piala terhebat di England kerana sejarahnya yang panjang dan penting.

“Sudah lama kami tidak menjuarainya jadi kami memasang impian untuk menjulangnya.”

Impian United untuk menjulang Piala FA buat kali pertama sejak 2004 terus menyala dan mereka akan kembali berdepan saingan Liga Perdana Inggeris menentang Stoke City di laman sendiri Selasa depan dengan berbekalkan keyakinan semakin pulih.

Sementara itu Derby perlu menunggu peluang berikutnya untuk menamatkan kemarau kemenangan Piala FA ke atas United yang berlanjutan sejak Februari 1987.

“Saya tidak fikir nasib kami tidak baik. Manchester United memang berhak menang,” kata pengurus Derby, Paul Clement.

“Bagi pasukan yang sepatutnya bermain tidak teratur dan kurang keyakinan, mereka bermain dengan baik.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2016 @ 5:07 AM