Bersama AHMAD SALIHIN ABD RAHIM


Dalam ruangan Vroom, Ahad lalu, saya membaca laporan berhubung choke atau 'pencekik'. Saya mahu bertanya berhubung van yang dipandu mempunyai masalah 'tersekat-sekat' apabila menghampiri bong­gol jalan. Sebelum ini, saya menukar pencekik itu namun masalah dihadapi masih sama.

GOH

Selangor

Pencekik pada karburetor membantu memudahkan menghidupkan enjin ketika sejuk. Ia berfungsi mengurangkan kemasukan udara dan meningkatkan kadar bahan api.

Keadaan itu hanya sesuai ketika enjin sejuk dan memanaskannya dengan lebih cepat. Jika enjin panas dan beroperasi secara normal, putaran per minit (RPM) akan tinggi dan lebihan bahan api akan mula meningkat sehingga membasahi palam pencucuh.

Berikutan itu, enjin yang ber­operasi secara normal akan menjadi tersengguk-sengguk jika pencekik tidak dibuka semula.

Menerusi penerangan diberi, masalah yang anda hadapi ia­itu enjin tersekat-sekat apabila menghampiri bonggol kemungkinan besar tiada kaitan dengan pencekik.

Masalah itu mungkin berpunca beberapa faktor membabitkan wayar sistem nyalaan yang longgar seperti kabel palam pencucuh atau paras bahan api yang tidak betul dalam takungan karburetor.

Takungan itu perlu berada pada aras tertentu bagi mengelak kegagalan bahan api masuk ke kebuk pembakaran, sekali gus membuat­kan enjin tersengguk-sengguk.

Bahan api dalam takungan itu akan berkocak apabila melanggar bonggol atau lopak dan pelampungnya terlalu rendah mungkin me­nyebabkan petrol tidak mampu disedut untuk pembakaran.

Cuba minta mekanik memeriksa dan melaras semula aras bahan api dalam takungan karburetor anda.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Disember 2014 @ 5:00 AM