Yamaha 125 Z saya mengalami masalah iaitu sukar dihidupkan kecuali menarik pencekik atau 'choke'.

Sebelum ini motosikal itu sudah dibaiki dan mekanik memaklumkan, jentera dua lejang memang sukar dihidupkan kecuali dengan bantuan pencekik.

Adakah dakwaan itu benar dan apa perlu saya lakukan untuk mengatasi masalah itu?

RAJ, Pulau Pinang

Fungsi pencekik adalah mengurangkan kemasukan udara untuk memberi campuran bahan api lebih banyak bagi memudahkan menghidupkan enjin ketika waktu pagi.

Bagi motosikal dua lejang, kesukaran menghidupkan enjin berpunca daripada pengumpulan karbon di bahagian omboh dan silinder.

Karbon itu menyerap petrol masuk bersama campuran minyak 2T dan menyebabkan terbentuknya titisan bahan api yang besar ketika enjin masih sejuk.

Cuba buka dan cuci karbon yang terkumpul, terutama bahagian omboh, selain mengilatkan semula komponen itu. Ia mampu mengurangkan pengumpulan karbon kawasan permukaan omboh.

Jika enjin anda masih memerlukan pencekik ketika panas, ia mungkin berpunca daripada masalah lain seperti penalaan karburetor yang tidak tepat atau penggunaan palam pencucuh kurang sesuai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2015 @ 5:01 AM