Bersama AHMAD SALIHIN ABD RAHIM


Soalan: Saya menunggang motosikal Modenas GT128. Masalah dihadapi adalah motosikal saya kehilangan kuasa daripada kelajuan 100 kilometer sejam (km/j) dan berkurangan menjadi 80 km/j.

Namun, masalah itu berlaku hanya sementara dan kembali seperti biasa. Apakah punca masalah itu dan cara untuk mengatasinya?

FAIRUZ, Mersing, Johor

Jawapan: Setiap masalah perlu dikaji kenapa ia berlaku dan mampu membantu mekanik untuk mengenal pasti puncanya.

Masalah yang anda hadapi mungkin berpunca daripada proses pembakaran dalam enjin.

Antara faktor utama ialah percikan api pada palam pencucuh, pemasaan nyalaan yang kurang tepat, campuran bahan api udara dalam kebuk pembakaran, mampatan dan aliran keluar ekzos.

Motosikal yang kehilangan kuasa dalam tempoh singkat mungkin mengalami masalah kecil seperti titisan air pada jarum karburetor atau lubang angin tersumbat, sekali gus menyebabkan campuran petrol dan udara tidak tepat. Ia juga mungkin berlaku akibat wayar palam pencucuh yang longgar atau berlaku litar pintas dan menyebabkan gagal menyalurkan bekalan elektrik untuk menghasilkan percikan api.

Jika kerap terlaku, perkara seperti itu perlu diperiksa dan dimaklumkan kepada mekanik untuk memudahkannya mencari punca masalah itu.

Bagaimana enjin kehilangan kuasa juga mampu memberi maklumat penting, sama ada hilang kuasa secara keseluruhan atau menjadi 'sebu' dan pulih semula apabila pendikit dipulas.

Namun, masalah dinyatakan itu sebenarnya berpunca daripada aliran bahan api tersumbat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 November 2014 @ 5:00 AM