HAZIQ bersama Ayunda Putri. FOTO ihsan Haziq
HAZIQ bersama Ayunda Putri. FOTO ihsan Haziq
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Penyampai radio Hot FM, Haziq mengesahkan bakal berkahwin dengan tunangnya, Ayunda Putri, 26, pada 15 Julai ini.

Haziq, 26, berkata, keputusan itu dibuat selepas mereka mengikat tali pertunangan pada Oktober tahun lalu.

"Alhamdulillah persiapan mengadakan majlis nikah sedang dibuat. Tinggal sebulan dari sekarang majlis akan diadakan. Dalam kesibukan kita menyambut Ramadan dan Aidilfitri nanti, saya pula sibuk membuat persiapan majlis perkahwinan.

"Insya Allah majlis nikah akan diadakan pada 10 Syawal nanti. Sementara majlis resepsi pada keesokan harinya di lokasi sama," katanya kepada Harian Metro.

Haziq yang juga pengacara program Hot TV menjelaskan dia tidak berdepan kesukaran bagi mendapatkan permohonan perkahwinan memandangkan bakal isterinya adalah warganegara Indonesia.

"Pada mulanya saya beranggapan susah nak membuat permohonan kerana ramai yang bercakap sedemikian. Sebaliknya apabila saya mendapatkan maklumat lanjut, baru saya tahu ia tidak sesukar disangka.

"Cuma di sebelah perempuan saja ia sedikit sukar kerana berkahwin di luar negara. Apa pun, buat masa sekarang segalanya dipermudahkan Allah. Jadi doakan semuanya berjalan lancar sehingga majlis berlangsung kelak," katanya.

Haziq dan Putri mula berkenalan ketika sama-sama menuntut di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) sejak empat tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2016 @ 4:33 PM