Saipul Adli Mohamad


"PERGI ke Pulau Kapas tengah bulan 10, tak hujan ke? Tak banjir ke?"

Demikian antara persoalan diutarakan rakan apabila saya mencadangkan 'mini reunion' di Pulau Kapas, Marang, Terengganu pada pertengahan Oktober lalu.

Ia adalah program tiga hari dua malam membabitkan bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Terengganu sesi SPM 1990.

Selain turut menggabungkan kami yang memasuki maktab sebagai pelajar tingkatan satu pada 1986 atau pelajar tingkatan empat baharu pada 1989.

Pada asalnya, 22 orang menyatakan sedia hadir, tetapi pada akhirnya hanya 18 orang saja termasuk beberapa pelajar senior.

Saya bersama lapan rakan bergerak dari Kuala Lumpur pada awal pagi Jumaat, 14 Oktober dan kami singgah solat Subuh di Masjid Geliga, Kemaman.

Kemudian kami dijamu nasi dagang istana (NDI) di Gerai Santap yang diusahakan seorang rakan berhampiran stesen minyak Petronas, Geliga.

Tidak sah datang ke Terengganu kalau tidak jamah nasi dagang, nasi minyak atau nasi kerabu dan semua menu itu ada di gerai berkenaan.

Perjalanan diteruskan ke Jeti Marang sebelum kami bergerak menaiki bot ke Pulau Kapas dan saya teruja kerana kali terakhir berkunjung ke pulau itu pada 1995. Beberapa rakan dari Kuala Terengganu sudah siap menunggu di dalam jeti itu.

Tempoh di dalam bot kira-kira 10 minit saja dan tidak sempat mabuk laut, walaupun sesekali bot laju merempuh ombak tinggi.

Kami tidak ke jeti utama dan kawasan resort, sebaliknya bot menghala ke tapak perkhemahan Harmony Camp Site.

PENULIS (duduk empat dari kanan) bersama rakan dijamu Nasi Dagang Istana berhampiran Petronas Geliga, Kemaman.
PENULIS (duduk empat dari kanan) bersama rakan dijamu Nasi Dagang Istana berhampiran Petronas Geliga, Kemaman.

Ya, kami akan tidur di dalam khemah yang sudah siap dipasang, barulah mencabar dan boleh menjadi pengalaman baharu.

Tiada jeti, sebaliknya hanya tangga kayu mudah alih untuk menurunkan penumpang bot dan sudah semestinya kami disambut pantai serta pasir putih bersih selain deruan ombak.

Ada beberapa buaian (hammock) sudah tergantung, selain khemah yang boleh memuatkan dua atau tiga orang siap tersedia dipasang.

Tetapi, ramai memilih untuk berehat di bawah khemah besar yang dijadikan surau kerana ia membolehkan kami berkumpul.

Kami sempat melakukan aktiviti snorkeling selain bermain bola tampar pantai sebelum hujan renyai pada lewat petang Jumaat itu yang berlanjutan sehingga malam.

Agak mencabar apabila bercuti ke pulau pada pertengahan Oktober kerana musim tengkujuh hampir tiba, namun sekurang-kurangnya cuaca pada pagi dan tengah hari sangat baik.

Kami masih boleh melakukan pelbagai aktiviti lain di bawah khemah selain usik- mengusik serta bergurau, sekali gus membangkitkan nostalgia zaman persekolahan.

Tidak perlu memasak dan menyediakan makanan kerana pakej kami termasuk sarapan, makan tengah hari dan malam.

Jadi, memang kami tidak sempat lapar kerana makanan memang banyak termasuk bekalan yang dibawa dari Kuala Lumpur dan Kuala Terengganu.

BERMAIN bola tampar pantai antara aktiviti dilakukan.
BERMAIN bola tampar pantai antara aktiviti dilakukan.

Aktiviti snorkeling diteruskan pada pagi Sabtu dan kami bergerak ke sebelah kanan pulau.

Perlu mendaki dan menuruni beberapa anak tangga termasuk menggunakan tali dan kawasan itu agak popular kerana hampir 10 bot pelancong turut berlabuh dan membawa pelancong melakukan aktiviti itu.

Saya kali pertama melakukan snorkeling dan selepas agak kekok pada hari pertama, hari kedua lebih baik serta yakin dan dapat merasai suasana sebenar.

Bagi saya yang tidak mahir berenang, pengalaman pertama snorkeling bukan mudah, tapi paling penting adalah mendapatkan suasana dan melihat sedikit keindahan alam di dalam laut dengan pelbagai jenis ikan serta terumbu karang.

Mula-mula belajar mengapungkan diri dalam jaket keselamatan secara telentang dan kemudian meniarap dan perlu bijak mengawal perasaan serta tidak panik.

Memang seronok dapat melihat ikan berwarna-warni dan keunikan terumbu karang, tetapi perasaan cemas boleh muncul apabila melihat ada lubang dalam dan kaki pula sudah tidak boleh berpijak di dasar.

 MENGIMBAU kenangan makan bersama-sama di dewan makan MRSM.
MENGIMBAU kenangan makan bersama-sama di dewan makan MRSM.

Namun apabila sudah mahir dengan peralatan dan tempoh menyelam lebih lama, perasaan seronok, teruja dan suasana itu dapat saya rasai.

Selepas letih snorkeling, kami dibawa mengelilingi pulau dengan bot sebelum kembali ke khemah untuk berehat dan menyambung bermain bola tampar pantai pada sebelah petang.

Petang dan malam Sabtu pun hujan, tapi ia tidak menjejaskan aktiviti kami yang mengadakan majlis tazkirah serta barbeku, diikuti sesi berbual sambil minum kopi. Ada rakan membawa gitar dan kami bernyanyi bersama.

Dapat pula merasai pengalaman tidur di dalam 'sleeping bag' di dalam khemah berbantalkan beg pakaian sambil sesekali menyembur nyamuk dengan racun serangga.

Banyak gambar dirakam dan kenangan bersama dicipta dalam percutian tiga hari dua malam itu dan pastinya deruan ombak serta pasir putih menghilangkan seketika tekanan penat lelah bekerja dan hiruk pikuk kesibukan ibu kota.

BERSEDIA melakukan aktiviti snorkeling di Pulau Kapas.
BERSEDIA melakukan aktiviti snorkeling di Pulau Kapas.

Kami tidak sempat mendaki ke Bukit Singa yang menjadi lokasi popular untuk bergambar atau mandi dalam gua di kawasan bukit itu.

Namun, kami dapat apa yang diinginkan iaitu merasai suasana menjadi 'orang pulau,' menghilangkan tekanan sebelum pulang bersama ukhuwah yang semakin erat.

Malah, kami menjadi kumpulan terakhir meninggalkan pulau

itu sebelum ia ditutup seketika sempena musim tengkujuh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2022 @ 7:00 AM