Pulut kuning tertinggi yang dipamerkan di FLORIA Diraja Putrajaya. FOTO ihsan Putrajaya floria
Pulut kuning tertinggi yang dipamerkan di FLORIA Diraja Putrajaya. FOTO ihsan Putrajaya floria
Siti A'isyah Sukaimi

Putrajaya: Pulut kuning setinggi 7.15 meter yang dipamerkan di Festival Bunga dan Taman Diraja Putrajaya 2016 (FLORIA Diraja Putrajaya) diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai pulut kuning tertinggi.

Ia diusahakan oleh pihak Putrajaya Floria Sdn Bhd (PFSB) bersama komuniti Putrajaya bermula dengan kerja menyediakan pulut kuning itu sejak semalam serta menyempurnakan proses binaan bermula pagi tadi.

Pengurus Besar PFSB Zarilla Bashir berkata, pembuatan pulut kuning berkenaan memerlukan kira-kira 800 kilogram (kg) beras pulut serta 30 kg daging lembu.

"Pulut kuning yang sudah siap dibungkus di dalam plastik ini akan diedarkan kepada orang ramai pada FLORIA Diraja Putrajaya hari ini," katanya.

Penganjuran FLORIA Diraja Putrajaya 2016 berlangsung di Anjung Floria Presint 4 bermula 27 Mei lalu menutup tirainya hari ini.

Pada majlis penutupan acara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memenangi piala pusingan Piala Taman FLORIA Diraja sekali gus membawa pulang wang tunai RM10,000.

Malah, DBKL turut memenangi Anugerah Taman Cemerlang bagi kategori Taman Khas manakala, anugerah Pereka Terbaik taman dimenangi pereka DBKL Muhammad Hafiz Zainal yang membawa pulang trofi dan sijil.

Selain itu, negeri Johor turut memenangi Anugerah Emas sekali gus membawa pulang wang tunai RM5,000, trofi dan sijil bagi kategori Taman FLORIA Diraja 2016 manakala, Pulau Pinang memenangi Anugerah Taman Presiden.

Hadiah disampaikan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Seri Hasim Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2016 @ 9:16 PM