Braga, Portugal: Portugal menempah tiket ke Euro 2016 selepas menang 1-0 ke atas Denmark di Braga, semalam.

Joao Moutinho menjaringkan gol tunggal perlawanan pada pertengahan babak kedua sekali gus memastikan Portugal mendahului Kumpulan I.

“Saya gembira dapat menjaringkan gol yang membawa Portugal ke pusingan akhir walaupun berhempas pulas untuk menang. Jadi kami berhak mendapat pujian,” kata Moutinho.

“Layak ke pusingan akhir tidak diperoleh menerusi satu perlawanan saja.”

Kapten Cristiano Ronaldo mengakui laluan mereka bukan mudah terutama selepas Portugal tewas perlawanan pembukaan di tempat sendiri ketika menentang Albania.

“Kami mengharungi kempen sukar. Kami bermula buruk tapi berjaya menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan baik,” kata bintang Real Madrid itu.

“Kehadiran Fernando Santos selaku jurulatih memainkan peranan penting kerana beliau memanggil semula pemain yang kami perlukan.”

Kemenangan itu yang keenam buat Portugal sepanjang saingan di peringkat kumpulan sejak tewas di tangan Albania.

Santos yang membimbing Greece di Piala Dunia 2014, menggantikan Paulo Bento selepas kekalahan di tangan Albania dan sejak itu prestasi anak buahnya melonjak.

“Penting bagi kami untuk mencapai objektif ditetapkan iaitu menamatkan saingan selaku juara kumpulan,” kata Santos.

“Semua pujian harus diberikan kepada pemain yang berusaha keras untuk berada di kedudukan ini.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2015 @ 5:06 AM