DUTA Fair & Lovely, Daiyan Trisha menyampaikan kata-kata semangat kepada penerima biasiswa Fair & Lovely.
DUTA Fair & Lovely, Daiyan Trisha menyampaikan kata-kata semangat kepada penerima biasiswa Fair & Lovely.
EMPAT puluh penerima biasiswa Fair & Lovely yang menerima hadiah masing-masing.
EMPAT puluh penerima biasiswa Fair & Lovely yang menerima hadiah masing-masing.
Siti Zarinah Sahib

Bertujuan memperkasakan wanita untuk terus berusaha mengejar impian mereka serta menjadi lebih berdikari melalui pendidikan, jenama penjagaan wajah terkemuka di Malaysia, Fair & Lovely memilih 40 wanita muda dari universiti awam sebagai penerima biasiswa buat julung kalinya dengan biasiswa terkumpul berjumlah RM200,000 menerusi Kempen Sinari Aspirasi baru-baru ini.

Kempen ini mendapat sambutan menggalakkan dengan lebih daripada 8,000 penyertaan diterima dari 20 universiti awam seluruh Malaysia. Mereka dipilih berasaskan kelayakan pendidikan dengan CGPA minima 3.0 dan aktif dalam aktiviti kokurikulum.

Semua 40 penerima biasiswa ini datang dari tiga universiti iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Setiap pelajar menerima biasiswa RM5,000 yang akan menampung kos yuran tuisyen dan buku sehingga setahun.

Menurut Pengurus Jenama Fair & Lovely Unilever (Holdings) Sdn Bhd, Callista Fernandez, Fair & Lovely berkongsi falsafah yang sama apabila wanita digalakkan berusaha gigih membina masa depan mereka dengan memperkasakan kekuatan dalaman dan keyakinan menerusi pendidikan.

Ramai wanita yang begitu bersemangat ingin mencipta masa depan mereka, namun memerlukan bantuan kewangan untuk mendapatkan asas yang sangat penting dalam pendidikan.

“Menyedari hal ini, kami mencipta satu platform untuk membantu kaum wanita ini ke arah masa hadapan yang cemerlang. Biasiswa ini satu pelaburan yang baik dan kami percaya ia berupaya mengubah hala tuju seseorang wanita, terutama pelajar yang memerlukan bantuan kewangan,” katanya pada majlis penyampaian biasiswa istimewa yang diadakan di Bangsar minggu lalu.

Tambahnya, Kempen Sinari Aspirasi bertujuan untuk menempuhi cabaran terutama dari segi isu kewangan yang menghalang wanita daripada mencapai impian mereka. Ia adalah komitmen berterusan Fair & Lovely dalam membantu wanita di seluruh Malaysia untuk mencapai impian mereka.

“Pada masa sama, kami mahu wanita ini bangkit dengan semangat membara dan keyakinan tinggi bahawa impian mereka boleh menjadi kenyataan jika mereka percaya pada diri sendiri,” katanya.

Penerima biasiswa dari Universiti Pendidikan Sultan Idris, Siti Noor Asyikin Yaacob mengakui sangat teruja apabila diumumkan sebagai salah seorang penerima biasiswa.

“Saya sangat bersyukur menerima biasiswa ini. Sudah tentu wang ini digunakan untuk menampung pengajian di kampus. Ia juga memberi peluang untuk saya mengejar impian menjadi seorang guru. Sudah pasti sedikit sebanyak dapat meringankan beban kewangan yang ditanggung ibu bapa saya.

“Sebenarnya sejak sekolah lagi Fair & Lovely antara jenama yang dekat di hati. Biasiswa diberikan jenama ini sangat bernilai bagi membantu wanita mengejar impian mereka,” katanya.

Pada majlis itu Fair & Lovely turut memperkenalkan duta jenamanya yang baru - Daiyan Trisha, 23, seorang penyanyi dan penulis lirik berbakat, penghibur, pelakon dan usahawan. Dia turut memberikan panduan berguna cara membahagikan masa untuk mendapat apa yang diimpikan.

“Saya akui memang perlu membahagikan masa sebaiknya kerana sebagai pelajar saya perlu menyelesaikan tugasan, begitu juga dengan nyanyian dan lakonan. Namun kerana minat saya pasti mencari masa melakukannya,” ujarnya.

Bagi Daiyan, di samping mengejar cita-cita sebagai penyanyi dan usahawan, pendidikan sangat penting kerana ia asas untuk mencapai matlamat hidup. Pendidikan membolehkan sesiapa juga maju ke hadapan dan merubah kehidupan mereka.

Ini kerana pendidikan saja dapat meluaskan minda bukan saja dari segi ilmu, tetapi turut meningkatkan kemahiran menyelesaikan masalah, menjadi kreatif dan berfikir secara kritis.

“Sebagai duta Fair & Lovely, ia satu penghormatan bagi saya dan memberi inspirasi kepada wanita muda untuk mencapai impian mereka seperti mana saya mengejar impian saya,” katanya yang banyak menerima semangat daripada ibu bapa tercinta.

Turut hadir pada majlis berkenaan, perunding imej profesional, Zarina Zainal yang mengendalikan bengkel penampilan dan keyakinan diri bertujuan memberi kesedaran mengenai pentingnya kekuatan dalaman dan keyakinan sebagai alat untuk menjadi wanita berdikari di dalam era moden.

Sehingga kini, Biasiswa Fair & Lovely membantu lebih 1,200 gadis dari seluruh Asia. Bagi mendapatkan maklumat lanjut layari www.fairandlovely.com.my/fal_biasiswa/.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2016 @ 11:17 AM