BEGITU berdisiplin untuk berjaya dalam bidang seni dan pelajaran.
BEGITU berdisiplin untuk berjaya dalam bidang seni dan pelajaran.
Michelle Gun


Sejak popular menerusi telefilem dan siri televisyen Dee, Daiyan Trisha mempunyai ramai peminat dalam kalangan generasi muda.

Daiyan, 24, yang juga penyanyi lagu Kita Manusia itu juga sering kali ditanya pelajar tip pengurusan masa pengajian di media sosial.

Daiyan ketika ditemui baru-baru ini berkata, disiplin amat penting dalam memastikan segala urusan berjalan lancar.

“Peminat selalu tanya bagaimana saya membahagikan masa di antara belajar dan bekerja. Bagi saya, dua tugasan penting itu dapat disempurnakan secara baik dengan membuat jadual supaya dapat merancang masa dengan baik,” katanya.

Tidak hairanlah Daiyan dilantik menjadi wajah beberapa produk terkenal termasuk Fair & Lovely sebagai inspirasi kepada generasi muda.

“Walaupun selalu berkongsi cara pengurusan masa, karier seni dan kecantikan dengan pengikut, saya tidak menganggap diri sebagai contoh.

“Sebaliknya, saya mahu menjadi inspirasi kepada mereka untuk berjaya,” katanya yang menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan di Infrastructure University Kuala Lumpur (IUKL), tahun lalu.

Komitmen serta dedikasi Daiyan sebagai wajah Fair & Lovely meyakinkan syarikat produk kecantikan diri itu untuk mengekalkan penyanyi berkenaan sebagai dutanya buat tahun ketiga.

“Saya gembira Fair & Lovely masih memberi kepercayaan sebagai duta produk mereka. Tambahan pula, saya menyokong usaha syarikat itu memberi biasiswa kepada pelajar universiti yang memerlukan,” katanya.

Menurut Daiyan, ada pelajar yang terpaksa mencari kerja sampingan bagi mengumpul dana membayar yuran pengajian dan keperluan lain.

“Saya selalu menekankan kepentingan pendidikan kepada peminat dan pengikut saya di laman media sosial. Oleh itu, dengan adanya biasiswa Fair & Lovely, saya amat berbangga untuk terlibat dalam inisiatif ini. Saya amat teruja untuk terus menggalakkan mereka untuk mengikuti program biasiswa Fair & Lovely tahun ini.” katanya.

Justeru, katanya, sebagai duta Fair & Lovely buat tahun ketiga, ia satu penghormatan baginya dan memberi inspirasi kepada wanita muda untuk terus mencapai impian mereka seperti mana penerima biasiswa Fair & Lovely, Nur Qurratuaini Abdul Malek yang menjadikan Daiyan sebagai idolanya.

Guna biasiswa biayai projek kelas

Penerima biasiswa Fair & Lovely, Nur Qurratuaini Abdul Malek berkata, bantuan sebanyak RM5,000 itu membantunya membiayai kos perbelanjaan tugasan kelas.

“Setiap semester, saya perlu menyiapkan projek berkaitan pengiklanan yang memerlukan rakaman video dan kosnya bukan murah,” katanya.

Menurut pelajar semester lima Ijazah Sarjana Muda Pengiklanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini, sebahagian daripada wang biasiswa itu turut diberikan kepada keluarganya.

“Saya ada lima adik yang masih bersekolah dan wang itu dapat meringankan bebanan bapa.

“Sebelum masuk UiTM, saya juga bekerja sambilan untuk membantu menyara keluarga. Terima kasih kepada Fair & Lovely kerana memilih saya sebagai salah seorang penerima biasiswa,” katanya.

Fair & Lovely menawarkan biasiswa berjumlah RM200,000 dan memilih 40 wanita muda dari tujuh universiti sebagai penerima.

Bagi tahun ini, Fair & Lovely ingin terus memberi peluang kepada penerima biasiswa untuk terus mencapai kejayaan dan impian mereka. Penerima berpeluang dan diberi keutamaan dalam sesi temu duga posisi untuk menjalani latihan amali di Unilever Malaysia. Penerima juga boleh mendapatkan maklumat terkini berkenaan latihan praktikal dan sesi perkongsian kerjaya eksklusif melalui komuniti alam maya Fair & Lovely.

Permohonan biasiswa boleh dibuat melalui portal rasmi Fair & Lovely di https;//www.fairandlovely.com.my/biasiswa_2018/ bermula 1 Januari hingga 31 Mac 2018. Maklumat lanjut boleh didapati menerusi portal rasmi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2018 @ 3:07 AM