Dr Mahenderan Appukutty - Pakar Pemakanan/Saintis Sukan

Menari boleh dianggap sebagai satu bentuk pembelajaran yang bukan saja digemari kebanyakan kanak-kanak, malah ia mampu menjadikan sesi belajar begitu menyeronokkan (pembelajaran kinestesis). Dengan peningkatan statistik obesiti dalam kalangan kanak-kanak, tarian boleh menjadi satu bentuk senaman yang sangat baik!

Malah, ia bertepatan dengan kenyataan Kementerian Kesihatan kanak-kanak perlu mendapat sekurang-kurangnya 60 minit aktiviti fizikal berintensiti sederhana setiap hari dan mengambil bahagian dalam aktiviti lebih lasak bagi meningkatkan kekuatan otot dan tulang, sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.

Tambahan pula, menari bukan saja membantu anak membakar tenaga berlebihan, ia juga membolehkan mereka mengekalkan kesihatan dan memberi banyak manfaat lain. Sebenarnya, menari membabitkan beberapa fungsi otak secara serentak. Menari terbukti membantu bentuk lebih banyak laluan dan hubungan saraf di dalam otak lantas meningkatkan kecerdasan kita.

Bermula awal

Bermula dari umur satu atau dua bulan, anak kecil sudah boleh memberi respons kepada muzik. Anda dapati anak anda tersenyum kepada anda atau meniru tarian dengan caranya tersendiri atau mungkin menggoyang-goyangkan tangan atau kaki.

Ingatlah walaupun sebelum mereka dilahirkan, bayi memberi perhatian kepada bunyi dan nada, contohnya intonasi percakapan dan denyutan jantung ibu. Apabila mereka boleh mula berjalan, kemahiran motor kasar anak kecil sudah meningkat secukupnya untuk ‘menari’ dengan menggerak-gerakkan tubuhnya ke atas dan ke bawah.

Bagaimana menari boleh membantu

Menari satu pendekatan yang sangat baik dalam membantu memupuk pelbagai aspek perkembangan anak yang sedang membesar dan tidak terhad kepada perkembangan fizikal saja.

Menari membantu menyepadukan beberapa fungsi otak secara serentak khususnya kinestesis, pemikiran rasional, muzik, dan emosi. Ini meningkatkan hubungan dan laluan saraf anak anda.

Kebaikan menari:

1. Perkembangan fizikal

Dibandingkan dengan aktiviti fizikal lain, menari lebih mencabar dan membabitkan lebih banyak jenis pergerakan, daya ketahanan fizikal, stamina dan koordinasi. Menari boleh memperbaiki ton otot, memperbetulkan postur yang kurang baik, meningkatkan imbangan dan memperbaiki kesihatan kardiovaskular.

Menariknya, seluruh tubuh digunakan sewaktu menarik. Ini satu senaman yang sangat baik. Antara manfaat lain termasuklah kepadatan tulang yang lebih baik dan jantung serta paru-paru yang lebih sihat.

2. Kematangan emosi

Dengan memberi peluang kepada anak-anak kecil meluahkan emosi melalui tarian, mereka mendapat kesedaran diri, keyakinan dan harga diri. Ini membantu menggalakkan kesihatan psikologi yang lebih baik dan kematangan, selain ruang untuk melegakan fizikal mereka.

3. Set minda berdisiplin

Tarian sering memerlukan anak menghafal rutin yang rapi atau aturan pergerakan. Ini akan memperbaiki keseimbangan, kesedaran ruang dan paling penting, menggalakkan pemikiran yang berorientasikan keterperincian.

4. Kesedaran sosial

Kelas tarian memberi anak-anak kecil peluang untuk bertemu dan menari bersama rakan sebaya mereka. Keseronokan dan bekerja secara berkumpulan (yang menjadi aspek mencabar bagi kebanyakan kanak-kanak) akan memberi kebaikan kepada anak anda apabila dia belajar mengenai interaksi sosial dan kerjasama.

5. Perkembangan kognitif

Menari membantu meningkatkan kemahiran kognitif anak anda. Menari ialah aktiviti lasak yang membantu meningkatkan bekalan darah sekali gus memastikan otak berfungsi dengan baik. Sifat dinamik membuat keputusan (contohnya langkah tarian seterusnya yang perlu diambil) membantu memperbaiki fungsi otak, maka meningkatkan kapasiti mentalnya kerana tubuh dan proses kognitif juga akan bersenam.

Dengan begitu banyak faedah, anda harus mempertimbangkan aktiviti ini secara serius untuk anak anda. Ingat, faedahnya menjangkaui jantina - tidak kira lelaki atau perempuan, kedua-duanya akan mendapat manfaat daripada tarian.

Persoalannya, bagaimanakah anda hendak memulakannya? Cara mudah dengan mendaftarkan si kecil ke kelas tarian. Ada banyak gaya menari yang boleh dipilih seperti balet, tarian tap, tarian sosial (contohnya jaz, foxtrot dan cha-cha) atau tarian tradisional (contohnya mak yong, kuda kepang, joget, tarian naga atau singa, Bharata Natyam dan bhangra).

Sekiranya pilihan ini tidak menarik buat anak anda, terdapat tarian kontemporari lain yang boleh dipilih seperti hip-hop, zumba atau tarian jalanan. Tiada sebab langsung untuk dia tidak menari!

** Artikel ini sumbangan program Pengasuhan Positif oleh Persatuan Pediatrik Malaysia dengan kolaborasi bersama Persatuan Pemakanan Malaysia, Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia, Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia, Persatuan Psikiatri Malaysia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Malaysia, Persatuan Tadika Malaysia dan Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia. Artikel ini juga disokong oleh geran pendidikan daripada KidZania Kuala Lumpur. Pendapat dalam artikel ini pandangan penulis. Bagi maklumat lanjut dan membaca majalah-e Pengasuhan Positif, layari www.mypositiveparenting.org.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2016 @ 12:26 PM