Kuala Lumpur: “Tugas beliau bukan pencari bakat. Beliau ketua jurulatih skuad Sukan SEA,” kata pengurus Harimau Muda A Datuk Seri Afandi Hamzah mengenai isu kedudukan Datuk Ong Kim Swee yang dikatakan ‘dilucutkan’ jawatan bersama pasukan itu.

Menurut Afandi yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), dakwaan ada individu cuba menyingkirkan Kim Swee daripada memainkan peranan besar bersama pasukan muda negara itu tidak benar dan beliau percaya pengendali itu akan meneruskan tugas seperti dipersetujui sebelum ini.

“Datuk Ong Kim Swee tetap ketua jurulatih untuk pembentukan pasukan Sukan SEA 2015 di Singapura dan beliau akan menilai pemain Liga Malaysia untuk diserapkan dalam pasukan itu.

“Pada masa sama kita mempunyai pasukan bawah 22 untuk kelayakan AFC 2016 dan memang ada cadangan menggabungkan pasukan ini, tapi kita tidak mahu Kim Swee dibebani tugas lain kerana misi Sukan SEA amat penting.

“Tiada isu untuk menyingkirkan Kim Swee cuma keputusan yang dibuat hanyalah pembahagian tugas antara beliau dan Razip (Ismail),” katanya kepada Arena Metro semalam.

Kontroversi timbul apabila Kim Swee didakwa tidak berpuas hati dengan keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyerahkan tugas mengendalikan Harimau A dan B yang bersaing dalam Liga Singapura serta Kelayakan B-22 AFC 2016 tahun kepada Razip manakala beliau hanya mencari pemain untuk dikumpulkan bagi Sukan SEA.

Menurut sumber dalaman FAM kepada Arena Metro kelmarin, Kim Swee, jurulatih yang membawa pasukan memenangi pingat emas Sukan SEA 2011 dan Pestabola Merdeka 2013 didakwa kecewa dengan keputusan yang dipengaruhi individu tertentu dalam pengurusan pasukan itu.

Senario itu dikatakan menyebabkan Kim Swee menimbangkan untuk menilai semula kontraknya yang bakal berakhir hujung tahun depan.

Bagaimanapun Afandi mengakui tidak mendengar sebarang rungutan daripada pengendali berusia 43 tahun itu dan jika ia benar-benar berlaku beliau percaya masalah ini dapat diselesaikan dengan baik.

“Saya tidak dengar tiada rasa kurang puas hati dari pihak Kim Swee kerana keputusan ini dibuat menerusi perbincangan semua pihak.

“Saya percaya beliau seorang yang profesional dan bersedia memikul tanggung jawab mencabar.

“Saya percaya Kim Swee akan kekal kerana kami masih memerlukan khidmatnya. Atas sebab itu beliau diberikan peranan lebih besar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Disember 2014 @ 7:24 AM