Oleh Aziman Rosdi


Kelana Jaya: "Biarkan kami bernafas sedikit." Itu harapan disuarakan jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) negara Razip Ismail yang mahu semua pihak memberikan beliau dan anak buahnya sedikit ruang bagi membuat persiapan untuk Kelayakan AFC B-23 pada Mac.

Pelbagai masalah luaran dan dalaman menghimpit pasukan itu sekali gus menambah tekanan Razip yang diberikan tugas membawa skuad itu merebut tiket ke pusingan akhir AFC B-23 di Qatar 2015 serta kempen Liga Singapura tahun ini.

Tidak cukup dengan beban itu, pengendali berusia 52 tahun itu juga mungkin mengambil alih tugas Datuk Ong Kim Swee bagi mengharungi Sukan SEA Singapura, Jun ini susulan spekulasi perpindahan jurulatih Harimau Muda A itu ke pasukan Liga Perdana Sabah.

"Perkara ini saya serah kepada FAM. Tumpuan saya kepada kelayakan dulu. Saya mahu menumpukan kepada satu-satu pertandingan sebelum fikir perkara lain (Sukan SEA). Sekarang saya sudah ada dua tugas (Kelayakan AFC dan Liga Singapura) tapi yang mustahak kelayakan ini. Perkara lain kita boleh putuskan kemudian," katanya ketika ditemui pada sesi latihan semalam.

Dalam laporan Arena Metro semalam, sumber mendedahkan Kim Swee hampir pasti melepaskan jawatan Harimau Muda A apabila Sabah dikatakan bersedia menebus kontrak bernilai kira-kira RM500,000 dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 January 2015 @ 5:05 AM