KERETA dipandu mangsa hanya mengalami kerosakan pada bahagian depan. FOTO ihsan Bomba
KERETA dipandu mangsa hanya mengalami kerosakan pada bahagian depan. FOTO ihsan Bomba
Zairee Mohd Yasak


Melaka: Kontraktor meninggal dunia dipercayai akibat masalah pernafasan selepas dadanya terhentak pada stereng sejurus kereta dipandu melanggar belakang kenderaan lain di persimpangan Taman Bukit Katil Indah, Bukit Katil, 4 petang tadi.

Difahamkan mangsa, Azman Ahmad, 45, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Balik Bukit, Bukit Lintang, selepas melawat kakaknya di Bukit Katil.

Ketika kejadian kereta dipandu mangsa dipercayai melanggar belakang kenderaan yang berhenti untuk masuk ke simpang taman terbabit.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah, mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan maut itu.

"Siasatan awal mangsa dipercayai meninggal dunia akibat masalah pernafasan. Pemeriksaan dilakukan pada kereta dipandu mendapati kederaan itu hanya mengalami kerosakan pada bahagian depan.

"Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2016 @ 9:13 PM